PM China seru pihak terlibat pertikaian berusaha ke arah pembangunan bersama
Bernama
Oktober 9, 2013 20:15 MYT
Oktober 9, 2013 20:15 MYT
Perdana Menteri China Li Keqiang hari ini menyeru pihak yang terlibat dalam pertikaian mengenai Laut China Selatan supaya berusaha secara aktif untuk kemajuan bersama.
Dalam ucapan di Sidang Kemuncak Asean-China ke-16 di sini, Li berkata perkara itu boleh dilakukan sementara menunggu tercapainya penyelesaian berhubung kawasan yang menjadi pertikaian.
Katanya kedua-dua pihak tidak seharusnya membiarkan persoalan berkaitan Laut China Selatan menjejaskan keseluruhan hubungan China-Asean.
"Kita semua bersetuju bahawa pertikaian tentang Laut China Selatan perlu ditangani melalui rundingan dan perbincangan antara pihak yang terbabit secara langsung mengenainya.
Malah, kata beliau, China dan negara anggota Asean perlu bekerjasama untuk memelihara keamanan dan kestabilan di kawasan berkenaan serta bersama-sama berusaha untuk mewujudkan persekitaran yang lebih baik dan membolehkan tercapainya penyelesaian secara aman terhadap pertikaian itu.
China, Taiwan dan empat negara anggota Asean iaitu Brunei, Malaysia, Filipina dan Vietnam membuat tuntutan wilayah di kawasan Laut China Selatan yang mencetuskan pertikaian itu.
Ketika merasmikan Sidang Kemuncak Asean ke-23 pagi ini, Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah bertitah baginda sukacita melihat usaha Asean untuk mewujudkan Tatakelakuan (COC) berhubung Laut China Selatan menjadi agenda rasmi dalam mesyuarat peringkat pegawai dan rundingan mengenainya akan diadakan pada tahun depan.
Mengenai COC, Li berkata ia merupakan satu perjanjian politik penting dan beliau memberi jaminan China akan bekerjasama dengan Asean untuk mempercepat proses penggubalan tatakelakuan itu secara aktif dan berhemah.
Beliau juga berkata China bersedia meneruskan kerjasamanya dengan negara lain dalam mendukung kebebasan dan keselamatan pelayaran di Laut China Selatan di mana setiap tahun, lebih 100,000 kapal kargo menyeberanginya dengan aman dan selamat.
Katanya kini terdapat keperluan untuk membincangkan tentang kemungkinan satu perjanjian berkaitan semangat kejiranan, persahabatan dan kerjasama ditanadatangani antara China dan Asean.
Li juga mengumumkan bahawa dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, China akan menyediakan 15,000 biasiswa untuk pelajar dari negara anggota Asean dan membuka lebih banyak pusat pendidikan untuk negara anggota pertubuhan itu di China.