PM China seru anggota G20 utamakan aspek pembangunan

Bernama
November 23, 2023 20:45 MYT
Li berkata dunia ketika ini masih bergelut dalam usahanya ke arah pemulihan ekonomi. - Gambar fail/Bernama
BEIJING: China akan terus bersinergi dengan semua pihak secara terbuka dan inklusif untuk memberikan sumbangan lebih besar kepada pemulihan ekonomi dunia serta pembangunan dan kemakmuran global, kata Perdana Menteri China Li Qiang.
Li berkata dunia ketika ini masih bergelut dalam usahanya ke arah pemulihan ekonomi.
Beliau menyeru supaya semua anggota G20 meletakkan pembangunan dan kerjasama sebagai keutamaan, di samping menentang amalan mempolitikkan isu pembangunan.
"Perlunya mengambil lebih banyak pendekatan praktikal bagi memastikan konsensus dicapai pada sidang kemuncak G20 di New Delhi dilaksanakan dengan baik.
"Sinergi juga perlu dibentuk untuk menegakkan multilateralisme, memperkasa kolaborasi dasar makro dan lebih prihatin terhadap kebimbangan negara membangun dalam pembaharuan institusi pelbagai hala," kata beliau ketika berucap pada Sidang Kemuncak Pemimpin Kumpulan 20 (G20) secara maya di sini, pada Rabu.
Para peserta sependapat bahawa dalam senario dunia berdepan pelbagai cabaran, semua anggota perlu memaparkan semangat perpaduan dan kerjasama, mengamalkan multilateralisme serta mengintensifkan kolaborasi membabitkan perubahan iklim, ekonomi digital, pembangunan hijau dan kecerdasan buatan (AI).
Sidang kemuncak kali ini dihadiri pemimpin negara anggota G20, pemimpin negara tetamu dan ketua pertubuhan antarabangsa yang berkaitan dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri India Narendra Modi.
-- BERNAMA
#kemakmuran global #pendekatan praktikal #anggota G20 #pemulihan ekonomi
;