PM Britain Liz Truss beri penghormatan kepada Ratu Elizabeth II

Astro Awani
September 8, 2022 07:50 MYT
TRUSS: Kemangkatan Ratu Elizabeth II adalah satu kejutan besar kepada negara dan dunia. - Foto fail/REUTERS
LONDON: Perdana Menteri Britain, Liz Truss pada Khamis memberi penghormatan kepada Ratu Elizabeth II atas "pencapaian luar biasa" baginda sebagai raja paling lama memerintah Britain.
Truss, yang dilantik ke jawatan itu 48 jam sebelum ini, menyatakan negara berduka dan menyifatkan Ratu Elizabeth II sebagai individu yang memodenkan Britain.
"Kita semua sangat bersedih dengan berita yang baru diterima dari Balmoral. Kemangkatan ratu adalah satu kejutan besar kepada negara dan dunia.
"Ratu Elizabeth II ialah individu yang memodenkan Britain. Negara kita telah berkembang di bawah pemerintahan baginda.
"Britain ialah negara yang hebat hari ini kerana baginda. Baginda menaiki takhta sejurus selepas perang dunia kedua.
"Baginda memperjuangkan pembangunan Komanwel daripada sekumpulan kecil tujuh negara kepada keluarga 56 negara yang merangkumi setiap benua di dunia.
"Kini kita adalah sebuah negara yang moden, berkembang maju, dinamik. Melalui kesusahan Ratu Elizabeth II memberikan kita kestabilan dan kekuatan yang kita perlukan.
"Baginda adalah semangat Great Britain, dan semangat itu akan kekal," kata Truss.
Ratu Elizabeth II menghembuskan nafas terakhir pada tengah hari Khamis (waktu tempatan).
Baginda mangkat pada usia 96 tahun di Istana Balmoral, Scotland, kata kenyataan Istana Buckingham.
BACA: Ratu Elizabeth II mangkat
#Ratu Elizabeth II #Liz Truss #Perdana Menteri #raja paling lama memerintah Britain
;