PM Britain ikrar hukuman tegas ke atas perusuh

Astro Awani
Ogos 7, 2024 00:50 MYT
Starmer menyifatkan rusuhan didalangi golongan sayap kanan melampau yang mengambil kesempatan untuk mencetuskan keganasan. - Foto REUTERS
LONDON: Perdana Menteri Britain, Keir Starmer mengulangi ikrar untuk menghukum pihak yang terlibat dalam rusuhan di negara itu.
Kenyataan ini dibuat pasca mesyuarat kedua Cobra yang diadakan ketika rusuhan semakin merebak di bandar-bandar utara Ireland ke selatan England.
Rusuhan antiimigran dan anti-Islam tercetus apabila aktivis haluan kanan menyebarkan maklumat tidak benar mengenai serangan yang membunuh tiga kanak-kanak di sebuah acara 29 Julai lalu.
Starmer menyifatkan rusuhan didalangi golongan sayap kanan melampau yang mengambil kesempatan untuk mencetuskan keganasan.
Beliau memberi jaminan perusuh akan dikenakan tindakan tegas.
Setakat ini lebih 400 individu di beberapa bandar sudah ditahan susulan penglibatan mereka dalam keganasan.
Sementara 100 daripada mereka sudah didakwa.
Lelaki 18 tahun yang memusnahkan kereta polis di Bolton, utara England, adalah individu pertama dihukum akibat keganasan.
James Nelson dipenjara dua bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Manchester atas tuduhan menyebabkan kemusnahan.
#Keir Starmer #rusuhan #hukuman berat #aktivis haluan kanan