PM Bangladesh tuduh pembangkang dalangi keganasan protes pelajar
Astro Awani
Julai 23, 2024 08:30 MYT
Julai 23, 2024 08:30 MYT
DHAKA: Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina menyalahkan lawan politiknya atas keganasan yang melanda negara itu, berikutan protes pelajar terhadap kuota pekerjaan dalam kerajaan.
Beliau berkata perintah berkurung akan ditarik semula apabila situasi semakin pulih.
Sheikh Hasina mendakwa parti pembangkang utama, Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) dan Parti Jamaat e-Islami menjadi dalang di sebalik protes besar-besaran negara itu.
"BNP sedang menghasutnya. Soalan saya adalah, mereka melakukan banyak perkara, siapa yang menaja mereka?
"Situasi ini akan berubah secepat mungkin. Kami telah menenangkan keadaan. Ia akan bertambah baik perlahan-lahan.
"Kami mengurangkan perintah berkurung sedikit hari ini. Apabila keadaan bertambah baik, kami akan menarik balik perintah berkurung," katanya.
Kenyataan dibuat sehari selepas Mahkamah Tinggi negara itu membatalkan kuota pekerjaan.
Ini susulan pertempuran antara kumpulan penunjuk perasaan dan anggota keselamatan yang mendorong kerajaan menutup perkhidmatan internet, melaksanakan perintah berkurung dan mengerah angkatan tentera.
Data hospital setakat ini menunjukkan 147 orang maut dan perkembangan ini dianggap keganasan terburuk di Bangladesh.
Sheikh Hasina, menang untuk penggal keempat dalam pilihan raya Januari lalu namun proses demokrasi itu diboikot pembangkang.