PM Bangladesh dilapor letak jawatan, didakwa dibawa ke 'lokasi selamat'
Agensi
Ogos 5, 2024 17:32 MYT
Ogos 5, 2024 17:32 MYT
DHAKA: Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina dilaporkan letak jawatan, lapor Reuters memetik media tempatan.
Sheikh Hasina juga didakwa telah meninggalkan negara itu pada Isnin dan dilaporkan telah dibawa ke sebuah lokasi yang 'selamat'.
Tindakan itu susulan desakan kuat rakyat negara itu yang mahu beliau meletak jawatan ekoran protes ganas melibatkan mahasiswa sehingga mengorbankan nyawa ratusan orang awam.
Visual disiarkan saluran TV Bangladesh menunjukkan penunjuk perasaan menyerbu istana Hasina, menterbalikkan perabot, memecahkan pintu kaca dan membawa pergi buku serta barangan lain, termasuk seekor ayam hidup.
“Saya berada di Istana Ganahaban,” menurut wartawan Bangladesh, Yeasir Arafat, memetik laporan South China Morning Post (SCMP).
“Terdapat lebih 1,500 orang di dalam istana. Mereka memecahkan perabot dan pintu cermin,” kata Arafat.
Sumber yang rapat dengan Hasina berkata, bahawa pemimpin berusia 76 tahun itu telah meninggalkan Dhaka bersama kakaknya untuk "tempat yang lebih selamat".
Sumber itu juga berkata, Hasina "ingin merakamkan ucapan, tetapi tidak mendapat peluang untuk melakukannya."
Akhbar Prothom Alo juga melaporkan Hasina telah melarikan diri dari ibu negara.
Bahkan, video sebuah helikopter didakwa membawa Hasina juga tular dalam media sosial, menyatakan wanita itu terbang ke ‘tempat selamat’ pada jam 2.25 petang (waktu tempatan).
Ketua tentera Bangladesh, Waker-Uz-Zaman dijadual akan berucap kepada rakyat negara itu pada petang Isnin, menurut jurucakap tentera.
Begitupun, tiada butiran lanjut diberikan.
Perhimpunan yang bermula bulan lalu pada awalnya menentang kuota pekerjaan perkhidmatan awam.
Ia kemudian merebak ke seluruh negara, menjadi pergolakan terburuk dalam pemerintahan Hasina selama 15 tahun.
Pergerakan anti-kerajaan itu telah menarik orang dari seluruh masyarakat di negara Asia Selatan yang mempunyai kira-kira 170 juta orang, termasuk bintang filem, pemuzik dan penyanyi.
Hasina telah memerintah Bangladesh sejak 2009 dan memenangi pilihan raya keempat berturut-turut pada Januari selepas pengundian tanpa pembangkang yang tulen.
Kerajaannya dituduh menyalahgunakan institusi negara untuk mengukuhkan kuasanya dan menghapuskan perbezaan pendapat, termasuk melalui pembunuhan di luar undang-undang.
Demonstrasi bermula berhubung pengenalan semula skim kuota yang mengkhaskan lebih separuh daripada semua pekerjaan kerajaan untuk kumpulan tertentu.
Protes telah meningkat walaupun skim itu telah dikurangkan oleh mahkamah tertinggi Bangladesh.
-ENDS-
#Sheikh Hasina letak jawatan
#Perdana Menteri Bangladesh
#PM Bangladesh letak jawatan
#protes ganas mahasiswa