PM baharu Thailand tegaskan tidak sokong penggunaan rekreasi kanabis
Agensi
September 15, 2023 23:25 MYT
September 15, 2023 23:25 MYT
BANGKOK: Perdana Menteri baharu Thailand, Srettha Thavisin pada Jumaat menyatakan bahawa pentadbirannya membantah penggunaan rekreasi kanabis, namun akan meneruskan dasar untuk kegunaan perubatan, lapor Reuters.
Thailand menjadi negara Asia Tenggara pertama yang mendekriminalisasi kanabis pada tahun lalu, namun dalam tempoh seminggu langkah itu dibuat, pelbagai isu timbul mengenai penggunaan yang tidak terkawal, termasuk dalam kalangan kanak-kanak.
"Dasar kanabis kekal dengan tujuan perubatan, Tentang penggunaan secara rekreasi, saya tidak bersetuju mengenainya," ujar Srettha dalam satu wawancara.
Parti Pheu Thai yang diterajui Srettha mengetuai pakatan kerajaan yang terdiri daripada 11 parti, mendapat mandat sejak Ogos lalu. Rakan gabungan terbesarnya Parti Bhumjaithai telah berjaya memperjuang usaha dekriminalisasi kanabis di bawah pentadbiran sebelumnya.
Kedua-dua pihak menegaskan, mereka hanya menyokong tujuan perubatan.
Industri kanabis Thailand dianggar bernilai AS$1.2 bilion menjelang beberapa tahun akan datang, dengan ribuan perniagaan berkaitan telah muncul di lokasi-lokasi pelancongan popular.
"Penyalahgunaan dadah sudah menjadi masalah besar bagi negara ini dan masih ditangani... maka kanabis perlu digunakan hanya untuk tujuan perubatan," jelas Srettha.