PM baharu Nepal: Menang undi percaya di tengah krisis COVID-19

Astro Awani
Julai 18, 2021 07:11 MYT
Deuba pernah memegang jawatan itu empat kali sebelum ini, memperoleh 165 undi berbalas 83. - Foto AP/Manish Swarup
KATHMANDU: Perdana Menteri baharu Nepal, Sher Bahadur Deuba memenangi undi percaya ke atasnya di Parlimen.
Perkembangan ini menyusul beberapa hari selepas Mahkamah Tinggi membenarkan badan perundangan itu bersidang sejak dibubarkan pada Mei.
Deuba, 75 tahun, pernah memegang jawatan itu empat kali sebelum ini, memperoleh 165 undi berbalas 83.
Beliau berdepan tugas dan tindakan pantas untuk mendapatkan vaksin dan mengendalikan penularan COVID-19.//
Setakat ini Nepal merekodkan 667,109 kes jangkitan dan 9,550 maut akibat virus itu.
Pakar kesihatan awam menyatakan laporan kes yang kurang di negara ini menunjukkan jumlah sebenar mungkin lebih tinggi.
Kurang daripada 4 peratus daripada 30 juta orang di negara ini telah diberi vaksin sepenuhnya.
Data menunjukkan lebih daripada 1.3 juta orang, sudah mendapat dos pertama vaksin.
Kerajaan baharu berjanji untuk memberi vaksin kepada satu pertiga rakyatnya dalam tempoh tiga bulan akan datang dan setiap warga Nepal akan mendapat vaksin menjelang April depan.
Isnin lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Deuba dilantik sebagai Perdana Menteri menggantikan K.P. Sharma Oli.
Oli, yang telah berkuasa selama tiga tahun, didakwa melanggar perlembagaan dengan membubarkan Parlimen.
Di sebalik itu, Deuba masih perlu memperoleh undi percaya berdasarkan perlembagaan Nepal.
Deuba, Ketua Parti Kongres Nepal akan mengetuai gabungan dengan bekas pemberontak Maois dan sebuah parti yang mewakili komuniti minoriti yang dominan di selatan negara itu.
#Nepal #Perdana Menteri #undi percaya #Parlimen #Sher Bahadur #Mahkamah Tinggi
;