PM baharu Kemboja gesa lebih banyak perdagangan antara negara Asia Tenggara

Bernama
September 5, 2023 22:02 MYT
Hun menggesa agar berpegang kepada "semangat kemerdekaan, kedaulatan dan integriti wilayah, kesaksamaan dan tidak campur tangan dalam Piagam ASEAN dan PBB. - Gambar fail/Reuters
ISTANBUL: Negara-negara Asia Tenggara perlu bekerjasama untuk meningkatkan integrasi ekonomi dan mengecilkan jurang perbezaan, kata perdana menteri baharu Kemboja semasa berucap pada acara pelbagai hala pertamanya di luar negara pada Isnin.
"Promosi perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN, khususnya, harus bermakna dan tidak meninggalkan sesiapa pun," kata Hun Manet pada forum perniagaan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) di Jakarta, ibu negara Indonesia, menurut Agensi Anadolu (AA).
Beliau menekankan kepentingan kerjasama dan usaha bersatu untuk memastikan penyelesaian tepat pada masanya, peningkatan yang lebih baik, berfikiran ke hadapan, dan lebih pragmatik kepada Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN 2009.
Hun juga menggesa agar berpegang kepada "semangat kemerdekaan, kedaulatan dan integriti wilayah, kesaksamaan dan tidak campur tangan dalam Piagam ASEAN dan PBB.
Dengan menyatakan pentadbirannya berhasrat untuk membantu menjadikan Kemboja sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2050, beliau menambah, "Keamanan dan kemakmuran sebenar hanya datang daripada penyelesaian konflik secara aman melalui dialog dan perundingan berdasarkan pendekatan menang-menang, di mana ia adalah mustahak untuk mendapat penyertaan dan persetujuan semua pihak yang terlibat, dalam semangat persefahaman bersama, meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan."
Mengenai perang Rusia-Ukraine selama 18 bulan dan keganasan politik yang berterusan di Myanmar yang diperintah junta, Hun berkata Kemboja "sangat percaya perang tidak dapat menamatkan perang."
Hun dipilih sebagai perdana menteri Kemboja bulan lalu dan pada usia 45 tahun, merupakan ketua kerajaan termuda dalam kalangan negara ASEAN.
-- BERNAMA
#Kemboja #Perdana Menteri #Hun Manet #ASEAN
;