PM baharu Itali Giorgia Meloni seru semua pihak bersatu tangani cabaran
Bernama
Oktober 24, 2022 11:30 MYT
Oktober 24, 2022 11:30 MYT
ROM: Perdana menteri baharu Itali, Giorgia Meloni pada Ahad menyeru semua pihak bersatu-padu untuk mendepani "pelbagai cabaran", lapor agensi berita Xinhua.
Meloni, ketua parti Brothers of Italy yang berhaluan kanan menerima mandat membentuk kerajaan baharu selepas partinya memenangi 26 peratus undi dalam pemilihan baru-baru ini.
Pada pemilihan itu partinya bergabung dengan parti Forza Italia pimpinan bekas perdana menteri Silvio Berlusconi dan Liga Eurosceptic yang diketuai Matteo Salvini, kedua-duanya memperoleh lapan peratus undi .
Berucap pada mesyuarat Majlis Menteri pertamanya, Meloni berkata: "Kita mesti bersatu untuk mendepani pelbagai kecemasan yang dihadapi negara."
Menurut laporan media, Meloni merujuk kepada peningkatan kadar inflasi, kelembapan ekonomi, kekurangan tenaga semasa musim sejuk dan kesan berterusan konflik antara Rusia dan Ukraine.
Kerajaan Meloni masih perlu menjalani dua lagi proses sebelum mengambil alih kuasa secara rasmi iaitu meluluskan undi percaya di kedua-dua dewan parlimen yang mungkin akan diadakan pada minggu ini.
-- BERNAMA