PM baharu Britain mansuh rancangan hantar migran ke Rwanda

Astro Awani
Julai 7, 2024 08:40 MYT
Starmer berkata, Dasar Rwanda akan dibatalkan kerana hanya kira-kira 1 peratus pemohon suaka akan dikeluarkan dan ia akan gagal bertindak sebagai penghalang. - Foto REUTERS
LONDON: Perdana Menteri baharu Britain, Keir Starmer berkata, rancangan kontroversi kerajaan terdahulu untuk menghantar migran ke Rwanda kini dimansuhkan.
Bekas Perdana Menteri Rishi Sunak dari Parti Konservatif sebelum ini telah berjanji untuk menghantar migran dan pencari suaka ke Rwanda dalam satu rancangan kontroversi bernilai jutaan pound.
Sunak dan menteri-menterinya berkata, penerbangan penghantaran satu hala pertama untuk migran ke negara Afrika Timur, Rwanda, akan dilakukan pada bulan Julai.
Tetapi tiada individu dihantar ke Rwanda di bawah rancangan itu kerana cabaran undang-undang selama bertahun-tahun.
Pada sidang akhbar pertamanya sejak menjadi Perdana Menteri, Starmer berkata, Dasar Rwanda akan dibatalkan kerana hanya kira-kira 1 peratus pemohon suaka akan dikeluarkan dan ia akan gagal bertindak sebagai penghalang.
Starmer memenangi salah satu majoriti Parlimen terbesar dalam sejarah Britain moden pada Jumaat.
Ini menjadikannya pemimpin Britain paling berkuasa sejak bekas Perdana Menteri Tony Blair, tetapi beliau menghadapi beberapa cabaran, termasuk meningkatkan perkhidmatan awam dan memulihkan ekonomi yang lemah.
Pada sidang akhbar di Downing Street, Starmer menjawab puluhan soalan dan berulang kali ditanya tentang bagaimana dan bila beliau akan mula menunaikan janjinya untuk menyelesaikan masalah negara.
#Keir Starmer #migran #Dasar Rwanda #mansuh
;