PM Australia umum pilihan raya 14 September

Agensi
Januari 30, 2013 11:23 MYT
Perdana Menteri Australia, Julia Gillard mengumumkan pilihan raya negara itu akan diadakan pada 14 September ini.
Ia memberikan tempoh lapan bulan kepada kerajaan minoriti pimpinan Parti Buruh untuk melakukan apa yang patut bagi meningkatkan sokongan rakyat ketika kebanyakan tinjauan pendapat menunjukkan pakatan pembangkang yang diketuai oleh Tony Abbott akan menang dengan selesa.
Parlimen akan dibubarkan pada 12 Ogos dan membuka jalan kepada tempoh kempen selama sebulan.
Dalam kenyataannya, Gillard menjelaskan pengumuman lapan bulan lebih awal itu bukan bertujuan untuk memulakan kempen pilihan raya paling panjang dalam sejarah negara itu.
“Kita semua mesti jelas bilakah tempoh untuk mentadbir dan bila pula tempoh untuk berkempen. Mengumumkan tarikh pilihan raya sekarang akan membolehkan orang perseorangan dan bisnes, pelabur dan pengguna membuat perancangan tahunan mereka.“
"Kebaikan menetapkan tarikh (pilihan raya) sekarang ialah bukan hanya menamatkan spekulasi mengenai tarikh pilihan raya. Ia memberikan satu hala tuju yang jelas untuk tahun ini," katanya.
Perdana Menteri wanita yang pertama bagi Australia itu berikrar mahu meningkatkan bantuan kerajaan bagi pendidikan dan kebajikan orang kurang upaya.
Pentadbirannya bagaimanapun dikecam oleh pembangkang dengan dakwaan tidak berintegriti apabila mungkir janji untuk tidak mengenakan cukai karbon sebagai ganti sokongan Parti Hijau selepas pilihan raya 2010.
Kerajaan Parti Buruh pimpinan Gillard dibentuk dengan sokongan tiga wakil rakyat bebas dan seorang wakil rakyat daripada Parti Hijau. Ia mempunyai majoriti satu kerusi di Parlimen.
Sementara itu, penganalisis politik di Universiti Monash di Melbourne, Zareh Ghazarian berkata, pengumuman pilihan raya awal itu sesuatu yang tidak pernah berlaku.
"Secara tradisinya, seseorang perdana menteri tidak mengumumkan tarikh pilihan raya awal untuk memeranjatkan pembangkang,'' katanya dipetik oleh Bloomberg.
Pilihan raya Australia sepatutnya diadakan sebelum 30 November.
#Australia #Julia Gillard #pilihan raya
;