PM Anwar tiba di Kazakhstan, kukuhkan hubungan antara negara

Bernama
Mei 16, 2024 20:38 MYT
Lawatan terakhir Perdana Menteri Malaysia ke Kazakhstan, negara Asia Tengah terbesar dengan populasi hampir 20 juta itu adalah pada 2014. - Gambar Afiq Hambali/PMO
ASTANA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Kazakhstan hari ini untuk lawatan rasmi sulungnya selama dua hari, bagi mengukuhkan lagi hubungan terjalin antara kedua-dua negara yang menjangkau lebih tiga dekad.
Pesawat yang membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Nursultan Nazarbayev pada pukul 1 tengah hari (4 petang waktu Malaysia) selepas berlepas dari Bishkek, Kyrgyzstan.
Ketibaan Anwar disambut oleh rakan sejawatannya Olzhas Bektenov, Timbalan Menteri Luar Kazakhstan Alibek Bakayev, Datuk Bandar Astana Zhenis Kassymbek, Duta Besar Malaysia ke Kazakhstan Mohd Adli Abdullah dan pegawai-pegawai dari pejabat Kedutaan Malaysia di sini.
Turut sama dalam delegasi Perdana Menteri ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, serta pegawai-pegawai kanan pelbagai kementerian dan agensi.
Lawatan terakhir Perdana Menteri Malaysia ke Kazakhstan, negara Asia Tengah terbesar dengan populasi hampir 20 juta itu adalah pada 2014.
Lawatan rasmi itu menandakan komitmen Malaysia untuk mengukuhkan kerjasama dua hala dengan Kazakhstan sejak 16 Mac 1992, merangkumi pelbagai sektor seperti perdagangan, pelaburan, pendidikan tinggi, pelancongan, industri halal, dan lain-lain untuk manfaat bersama.
Sejurus tiba hari ini Anwar yang juga Menteri Kewangan akan melawat Masjid Besar Astana di sini, masjid terbesar di Asia Tengah dan antara masjid terbesar di dunia, yang berfungsi sebagai pusat keagamaan penting di bandar raya itu.
Kira-kira 70 peratus penduduk di negara kesembilan terbesar di dunia ini beragama Islam, menempatkan sekitar 2,900 masjid.
Selepas melawat Masjid Besar Astana Perdana Menteri akan menghadoiri majlis sambutan rasmi oleh Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev di Istana Presiden (Ak Orda) sebelum kedua-dua pemimpin mengadakan mesyuarat dua hala untuk perbincangan yang lebih meluas.
Menurut Mohd Adli dalam persidangan media semalam, satu Kenyataan Bersama akan ditandatangani susulan mesyuarat itu, sebelum Perdana Menteri dan delegasi Malaysia diraikan dengan majlis makan malam dihoskan oleh Tokayev.
Sebelum mengakhiri lawatannya esok Perdana Menteri dijadual menyampaikan ucaptama pada Sesi Meja Bulat mengenai kerjasama perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Kazakhstan di sini.
Bektenov juga dijadual menghadiri sesi itu, yang bertujuan memupuk kerjasama dan perkongsian antara syarikat di kedua-dua negara dalam sektor ekonomi, perdagangan dan pelaburan.
Perdana Menteri juga dijadual menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan agensi kerajaan dan perniagaan berkaitan daripada kedua-dua pihak.
Perdagangan Malaysia dengan Kazakhstan pada 2023 berjumlah RM474.5 juta (US$104.2 juta), dengan RM465.6 juta (US$102.2 juta) merupakan eksport barangan Malaysia ke Kazakhstan dan RM8.9 juta (US$1.9 juta) nilai import dari Kazakhstan.
Anwar sebelum ini telah mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Republik Kyrgyz.
Selepas Kazakhstan, Perdana Menteri akan meneruskan lawatan rasmi ke Uzbekistan.
-- BERNAMA
#lawatan rasmi #memupuk kerjasama #hubungan terjalin #rakan sejawat
;