PM Anwar tiba di Jakarta, sertai pemimpin serantau lain sempena Sidang Kemuncak ASEAN

Firdaus Azil
September 4, 2023 16:58 MYT
PM Anwar diiringi isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail, dilihat menuruni pesawat rasmi kerajaan pada pukul 3.27 petang (waktu Jakarta). - SADIQ ASYRAF/ PMO
JAKARTA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta, bagi menyertai pemimpin-pemimpin serantau lain sempena Persidangan Kemuncak ASEAN ke-43 yang bermula dari 5 hingga 7 September ini.
Beliau, yang diiringi isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dilihat menuruni pesawat rasmi kerajaan pada pukul 3.27 petang (waktu Jakarta), dan disambut dengan kalungan bunga oleh Menteri Komunikasi dan Informatika, Budi Arie Setiadi, serta diberi penghormatan kawad tentera oleh tuan rumah.
Hari pertama Perdana Menteri di Jakarta akan dimulakan dengan sesi pre-council bersama delegasi Malaysia yang turut disertai Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz; Duta Besar Malaysia ke Republik Indonesia, Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin; Ketua-ketua Setiausaha dan pegawai-pegawai kanan kementerian.
Perdana Menteri dijadual untuk menghadiri temu bual eksklusif bersama The Jakarta Post, sebelum menghadiri sesi “Santai Bersama Anwar” yang akan diserikan dengan kehadiran pempengaruh dan selebriti Indonesia seperti Rafi Ahmad, Mulan Jameela, Maruli Tambupolon dan ramai lagi.
Pada sebelah malamnya beliau akan mengadakan pertemuan dengan beberapa individu dan badan bukan kerajaan termasuk Dewan Dakyah Islamiyah Indonesia.
Sebelum ini Astro AWANI melaporkan Zambry sebagai berkata, Perdana Menteri dijangka membawa mesej mengukuhkan lagi Kepusatan ASEAN di rantau Indo-Pasifik, sewaktu Sidang Kemuncak ASEAN.
Beliau berkata, ini merupakan Sidang Kemuncak yang pertama bagi Perdana Menteri bersama tujuh Rakan Dialog ASEAN, iaitu Australia, China, Jepun, India, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Kanada.
Selain itu beliau berkata, Perdana Menteri juga akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga, Sidang Kemuncak Asia Timur, dan Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Mengulas lanjut, Zambry berkata, Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin dunia seperti Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol; Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese; Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau; Perdana Menteri India, Narendra Modi; dan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres.
Selain itu Perdana Menteri juga akan menghadiri program Santai Anwar bersama Pengamal Media Sosial; dan Temu Anwar bersama rakyat Malaysia termasuk diaspora perniagaan di Jakarta.
#Anwar Ibrahim #ASEAN 2023 #Perdana Menteri #Jakarta
;