PM Anwar teruskan agenda padat di Sidang Kemuncak ASEAN

Syafik Shukri Jalil
Oktober 10, 2024 11:20 MYT
Tentatif padat Perdana Menteri Anwar di Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan 45 serta Sidang-Sidang Berkaitan diteruskan dengan menyertai Sidang Kemuncak ASEAN-China di sebelah pagi, hari ini. - Gambar Bernama
VIENTIANE: Tentatif padat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan 45 serta Sidang-Sidang Berkaitan diteruskan dengan menyertai Sidang Kemuncak ASEAN-China di sebelah pagi, hari ini.
Beliau bersama kesemua pemimpin negara anggota ASEAN dijangka bertemu Perdana Menteri China, Li Qiang di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC), di sini.
Anwar dijadual menyampaikan ucapan sebelum menghadiri sidang seterusnya melibatkan Sidang Kemuncak ASEAN-Korea Selatan ke-25, sempena ulang tahun ke-35 Hubungan Dialog ASEAN-Korea Selatan.
Selain itu, beliau turut dijadual menerima kunjungan hormat daripada pengasas dan Pengerusi Eksekutif Forum Ekonomi Dunia (WEF), Prof Klaus Schwab.
Pada masa sama, Perdana Menteri juga akan menyertai Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun dan Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga melibatkan (China, Korea Selatan dan Jepun).
Antara lain, beliau juga akan meneruskan sesi hari ini dengan menyertai Sidang Kemuncak ASEAN-Australia, Sidang Kemuncak ASEAN-India dan Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Kanada.
Di luar sidang, beliau dijadual mengadakan pertemuan dan mesyuarat dua hala bersama Presiden Majlis Eropah yang bakal dilantik, Antonio Costa.
Malah beliau juga akan mengadakan pertemuan bilateral dengan Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau; Perdana Menteri Thailand yang baharu, Paetongtarn Shinawatra; Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken dan Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh.
Mengiringi Perdana Menteri pada persidangan ini ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Di sebelah malam, Anwar bersama Mohamad Hasan dan Tengku Zafrul akan menghadiri Majlis Makan Malam Gala yang dianjurkan oleh Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone dan isterinya, Vandara Siphandone.
#ASEAN #jadual padat Perdana Menteri #Sidang Kemuncak ASEAN-China #PM Anwar Ibrahim
;