PM Anwar terima jemputan Presiden al-Sisi ke Mesir
Hafizi Rosli
Mei 18, 2023 11:40 MYT
Mei 18, 2023 11:40 MYT
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima jemputan daripada Presiden Mesir, Jeneral Abdel Fattah al-Sisi untuk mengunjungi republik itu.
Jemputan berkenaan disampaikan Duta Besar Mesir ke Malaysia, Ragai Tawfik Said Nasr kepada Anwar dalam pertemuannya bersama Perdana Menteri pada Rabu.
Dalam muat naik di laman Twitter, Anwar menjelaskan, pelawaan itu merupakan jemputan mesra dan memberi penghormatan kepada Malaysia serta menunjukkan hubungan rapat antara kedua-dua negara.
Jelasnya lagi, kunjungan ini juga akan memberi peluang untuk mempererat hubungan diplomatik, serta memperluas kerjasama ekonomi, pendidikan dan budaya antara Malaysia dan Mesir.
Katanya, kunjungan itu juga akan memberi peluang untuknya berbincang dengan Presiden Mesir mengenai isu-isu bilateral dan serantau serta bertukar pendapat mengenai perkembangan geopolitik di peringkat global.
Anwar juga yakin ia juga akan membolehkan Malaysia memperkenalkan keupayaan pelaburan dan kerjasama dalam bidang yang berkepentingan.