PM Anwar gesa beri lebih ruang kepada Ahli Parlimen ASEAN suara pandangan - Johari

Syafik Shukri Jalil
Oktober 10, 2024 09:45 MYT
Johari (tengah) menghadiri Sesi Bersemuka Pemimpin ASEAN bersama Wakil Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) di Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-Sidang Berkaitan di Vientaine, pada Rabu.
VIENTIANE: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Parlimen dalam negara blok ASEAN memberi ruang kepada ahlinya menyuarakan pandangan tanpa mengehadkan idea mereka, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Menurut Johari, saranan itu disampaikan Perdana Menteri dalam Sesi Bersemuka Pemimpin ASEAN bersama Wakil Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) di Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-Sidang Berkaitan, di sini, semalam.
"Saranan Perdana Menteri itu bagi memastikan pandangan itu (Ahli Parlimen) boleh memberikan idea baharu, apatah lagi bukan saja ASEAN, malah Asia akan menjadi medan ekonomi yang terbaik selepas ini.
"Saya kira kita harus sedia menerima hakikat bahawa di luar, masalah sedang membengkak tetapi kita harus perkukuhkan kedudukan kita dan dengan penduduk ASEAN berjumlah 680 juta, kita harus memanfaatkannya," katanya.
Johari berkata demikian kepada delegasi media Malaysia selepas menghadiri Sesi Bersemuka Pemimpin ASEAN bersama Wakil Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) di sini, pada Rabu.
Pada masa sama, Johari menambah, antara yang menjadi tumpuan pada sesi tersebut ialah kepentingan hubungan rapat antara semua kerajaan dan dewan di negara ASEAN supaya apa yang dihasratkan rakyat dapat disambut dengan tindakan segera oleh eksekutif.
Ujarnya lagi, sebagai satu kuasa gabungan keempat terbesar dunia, pertukaran maklumat dan teknologi turut perlu dilaksanakan sesama negara anggota sebagai usaha memajukan lagi rantau ASEAN.
"Dari sudut keselamatan dan kerjasama serantau, kita mahu perkemaskan kedudukan kita supaya menjadi sebuah zon yang mengekalkan keamanan dan harus kekal neutral serta tidak berpihak.
"Kita juga lihat bagaimana kedamaian dapat dicapai di Myanmar tanpa mendesak mereka tetapi dengan membuka jalan supaya perbincangan berlaku dan ruang untuk negara itu memperbaiki keadaan supaya tidak melarat keluar," katanya.
Menyentuh kepengerusian ASEAN tahun depan, Johari berkata, Malaysia berazam memastikan penganjuran Sidang Kemuncak itu menjadi yang terbaik dalam sejarah ASEAN.
"Keupayaan itu akan memberi impak besar kepada negara kita kerana ini akan menjadi fokus dunia,” katanya lagi.
#ASEAN #Parlimen ASEAN #AIPA #PM Anwar Ibrahim
;