PM Anwar bertemu PM Thailand di Sadao

Shafizan Johari
November 27, 2023 15:02 MYT
PM Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama rakan sejawatnya dari Thailand Srettha Thavisin melawat tapak titik pertemuan Projek Jajaran Jalan Menghubungkan pusat pemeriksaan Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Bukit Kayu Hitam. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR : Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat dari Thailand, Srettha Thavisin.
Pertemuan berkenaan diadakan di kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Sadao, Thailand.
Tujuan utama lawatan tersebut adalah untuk melihat kemajuan kerja bagi projek Jajaran Jalan yang menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di Malaysia dan CIQ.
Kedua-dua pihak turut dijangka mengadakan perbincangan berkaitan penubuhan pasukan petugas bersama bagi meningkatkan hubungan dua hala Malaysia dan Thailand dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pelancongan, pertanian dan keterjaminan makanan serta keselamatan sempadan.
Perdana Menteri turut dijadual mengadakan sidang media semasa lawatan tersebut.
Terdahulu, PM Anwar tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Kedah pukul 11 pagi.
Beliau disambut Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
#Anwar Ibrahim #Srettha Thavisin #CIQ #ICQS
;