Plot 2014 kembali berulang di Pilpres 2019

Saharudin Musthafa
April 17, 2019 06:10 MYT
Dalam pidato di hadapan penyokong-penyokongnya, Prabowo sekali lagi mengumumkan beliau dan gandingannya, Sandiaga Uno mengungguli Pilpres 2019. - Foto fail
LIMA tahun lalu, senarionya sama seperti yang berlaku pada Rabu malam.
Keputusan kiraan pantas (quick count) Pemilihan Presiden (Pilpres) 2014 yang diperoleh selepas tempoh mengundi selesai menyaksikan pasangan Jokowi dan Jusuf Kalla memperoleh undian tertinggi.
Namun, dalam masa sama, pesaing ketika itu, Prabowo Subianto yang berpasangan dengan Hatta Rajasa ‘mengumumkan’ kemnya sudah mengatasi kem Jokowi.
Prabowo melakukan sujud syukur sebagai tanda terima kasih kepada Tuhan kerana memberikan kejayaan buatnya.
Plot yang sama dilakukan Prabowo malam tadi. Dalam pidato di hadapan penyokong-penyokongnya, Prabowo sekali lagi ‘mengumumkan’ beliau dan gandingannya, Sandiaga Uno mengungguli Pilpres 2019.
Namun begitu, Sandiaga tidak kelihatan semasa Prabowo mendakwa kejayaan sudah berada dalam genggaman mereka.
Prabowo juga turut melakukan sujud syukur. Pengumuman dan sujud syukurnya itu mendapat liputan meluas media.
Di sebelah kem Jokowi dan gandingannya, Ma’aruf Amin pula memilih untuk tidak begitu ‘berani’ untuk secara terbuka mengumumkan kemenangan mereka.
Sekalipun, dalam kiraan pantas yang dilakukan oleh sebahagian daripada 40 lembaga yang diiktiraf oleh pihak berkuasa mendapati Jokowi-Ma’aruf sedang mendahului, namun pasangan nombor satu dalam liga pertandingan Pilpres lebih selesa menanti pengumuman rasmi daripada Komisi Pemilihan Umum (KPU).
Bahkan, kem Jokowi enggan berlebih-lebihan meraikan kemenangan mereka hanya berdasarkan kiraan pantas itu.
Alasan kubu Jokowi ialah enggan mencetus suasana yang kurang manis kerana pelbagai kemungkinan juga boleh berlaku.
Namun yang menjadi persoalannya ialah keputusan kiraan pantas mana yang boleh dijadikan petunjuk kemenangan pada Pilpres kali ini?
Kenapa Prabowo boleh mendahului KPU? Apakah ini ada kaitannya dengan keterbukaan demokrasi?
Inilah yang menjadi bahan perdebatan dan tanda tanya dalam kalangan sebilangan besar rakyat Indonesia pada masa ini.
Semua pihak memahami bahawa Prabowo mempunyai hak untuk meraikan seandainya kemenangan sudah jelas berpihak kepadanya.
Demikian juga dengan Jokowi yang juga boleh melakukannya.
Keghairahan ‘mengumumkan’ kemenangan sebelum pengumuman rasmi hanya akan mengundang ketawa masyarakat.
Seharusnya Prabowo mengambil pendekatan bijak dengan tidak mengulangi plot 2014. Pengalaman lima tahun lalu harus menjadi pengajaran berguna buat beliau.
Sayang sekali, Prabowo sekali lagi ‘terlajak’ berbuat perkara yang sama.
Dari satu aspek lain, tindakan Prabowo dilihat sebagai sifat semula jadi seorang bekas jeneral tentera yang sentiasa optimis terhadap apa yang dilakukannya.
Realitinya, tidak kira siapa calon mana yang akan menjadi Presiden Indonesia ke-8 kelak, apa yang paling utama perlu dilakukan mereka ialah bersikap jujur dalam tugas mereka.
Seperti pesanan yang dititipkan pemerhati politik yang juga pensyarah di Universiti Al Azhar Indonesia, Dr Ujang Komaruddin, pemimpin yang dipilih oleh rakyat memikul amanah rakyat.
Apa lagi bagi bangsa Indonesia yang sangat besar jumlahnya.
“Jangan pernah ingkar janji, jangan pernah kecewakan masyarakat. Siapa pun yang dipilih adalah amanah,” kata Dr Ujang.
#Indonesia #Jokowi #Jusuf Kalla #Komisi Pemilihan Umum #KPU #ma'aruf amin #pemilihan presiden #Pilpres 2019 #Prabowo Subianto #Sandiaga Uno
;