PlayStation Kim Jong-un kena godam antara ramalan ancaman siber 2018

Agensi
Disember 26, 2017 13:57 MYT
LogRhythm meramalkan perang siber antara Amerika Syarikat dengan Korea Utara akan menjadi lebih teruk tahun hadapan. Perang siber itu akan melibatkan penggodaman konsul Playstation milik Kim Jong-un (gambar). - REUTERS/Fail
FIRMA perisikan keselamatan Amerika Syarikat (AS), LogRhythm meramalkan perang siber antara Amerika Syarikat dengan Korea Utara akan semakin menjadi-jadi pada tahun hadapan dan akan memberi kesan langsung kepada pengguna.
Perang siber itu turut melibatkan serangan ke atas konsul permainan PlayStation milik Kim Jong-un.
"AS dan Korea Utara sudah melancarkan serangan siber sejak beberapa tahun dahulu dan ia dijangka semakin sengit pada tahun ini.
"Tekanan (akibat perang siber) dijangka memuncak dan orang awam dikhuatiri akan mula menerima tempiasnya," jelas LogRhythm dalam satu kenyatan akhbar baru-baru ini.
Firma itu turut menjangkakan lebih banyak kes membabitkan pengodaman sistem Bitcoin tahun ini dan ia dikhuatiri menyebabkan kerugian besar-besaran kepada pengguna.
"Peningkatan penggunaan Bitcoin akan mengundang lebih ramai penggodam untuk menceroboh masuk sistem Bitcoin, menyebabkan kerugian besar kepada pemiliknya," tambah LogRhythm lagi.
Selain itu, LogRhythm menjangkakan jumlah kerugian akibat kebocoran data terbesar akan meningkat sehingga mendorong AS untuk menggubal dasar baharu bagi memperketatkan perlindungan data peribadi.
Turut diramal, peningkatan jumlah kes pencerobohan drone akan memberi ancaman kepada keselamatan siber.
#Amerika Syarikat #AS #firma perisikan #godam #keselamatan #Kim Jong Un #Korea Utara #PlayStation #serangan
;