Platform video Rumble saman Google kerana langgar peraturan persaingan
Bernama
Mei 14, 2024 23:00 MYT
Mei 14, 2024 23:00 MYT
MOSCOW: Platform hos video dalam talian, Rumble, telah mengemukakan saman ke atas Google dan Alphabet kerana melanggar peraturan persaingan semasa mempromosikan platform video YouTube, lapor portal berita Axios pada Selasa.
Rumble menyatakan dalam aduan bahawa Google sepatutnya membayar syarikat itu US$1 bilion sebagai ganti rugi kerana kehilangan pendapatan iklan yang sepatutnya diterima oleh Rumble jika tidak kerana tindakan anti-persaingan Google, menurut laporan itu.
"Kesannya, Google mampu meraih bahagian yang lebih tinggi daripada setiap dolar iklan yang melalui pasaran Teknologi Iklan yang dikawalnya, pendapatan iklan yang sepatutnya disalurkan kepada penerbit seperti Rumble dan pencipta kandungannya," menurut aduan itu.
Rumble juga mendakwa Google melanggar undang-undang antitrust dan mengadakan perjanjian rahsia dengan pemain pasaran lain yang bertujuan untuk menindas persaingan, menurut laporan itu lagi.
Pada tahun 2021, Rumble telah mengemukakan saman terhadap Google kerana secara tidak sah memihak kepada video-video YouTube dalam hasil carian Google, menurut laporan itu.
-- BERNAMA