Pizza Hut Indonesia nafi guna bahan melebihi tarikh luput
Syafique Shuib
September 5, 2016 19:15 MYT
September 5, 2016 19:15 MYT
Pizza Hut Indonesia telah menafikan ia menggunakan bahan yang melampaui tarikh tamat tempoh dalam produknya.
Dalam kenyataan yang dikongsi di Twitter, Pizza Hut Indonesia berkata makanan-makanan yang disediakannya perlu melalui kawalan kualiti yang ketat.
Ia juga menjamin bahawa hidangan yang disediakan selamat untuk dimakan.
"Sebagai satu syarikat yang sudah berada di Indonesia lebih dari 32 tahun dan memiliki 13,000 pekerja dan 326 restoran, kami sentiasa menempatkan kepercayaan anda selaku pelanggan setia Pizza Hut Indonesia sebagai keutamaan kami,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Kenyataan Pizza Hut Indonesia dimuat naik setelah kecoh tentang laporan bahawa syarikat PT Sriboga Raturaya yang mempunyai anak syarikat pemilik francais Pizza Hut Indonesia dan restoran Jepun, Marugame Udon disyaki menggunakan bahan yang melampaui tarikh tamat tempoh.
Siasatan khas ini dilakukan oleh BBC Indonesia dan majalah Tempo.
Memetik laporan itu, beberapa dokumen dan foto-foto yang diterima dari seorang bekas pegawai tinggi di dalam syarikat itu menunjukkan pelekat dengan arahan yang menyatakan bahawa bahan-bahan boleh digunakan untuk tempoh tiga bulan selepas tarikh tamat tempoh.
Antara bahan-bahan yang dimaksudkan adalah sosej ayam dan sayuran, sos carbonara dan sos sate.
Sementara itu, Pengarah Presiden PT Sriboga Raturaya Alwin Arifin nafi restorannya menggunakan bahan yang telah tamat tempoh.
Memetik laporan Tempo.co, pihak Sriboga Raturaya juga tidak akan menyaman majalah itu.
“Saya tidak akan mengheret mereka ke mahkamah, tetapi saya akan berikan mereka pengajaran,” kata Alwin dalam satu sidang media di Jakarta pada Isnin.
Katanya, tiada pelanggan Pizza Hut Indonesia pernah mengalami keracunan makanan dalam tempoh 30 tahun ia beroperasi di negara itu.
Beliau turut mengingatkan agar majalah Tempo mengamalkan etika yang bertanggungjawab dan tidak sepatutnya menerbitkan rencana untuk meraih populariti.