Pita Limjaroenrat gagal dapat sokongan meyakinkan untuk jadi PM Thailand
Bernama
Julai 13, 2023 22:42 MYT
Julai 13, 2023 22:42 MYT
BANGKOK: Usaha pemimpin Parti Move Forward, Pita Limjaroenrat untuk menjadi Perdana Menteri Thailand menemui kegagalan selepas gagal mendapat sokongan meyakinkan lebih separuh daripada 749 Ahli Parlimen dwidewan.
Walaupun menjadi calon tunggal untuk jawatan itu, Pita berdepan ujian getir mendapatkan 375 undi yang diperlukan. Beliau sebaliknya hanya mendapat 324 undi manakala 199 berkecuali. Seramai 44 Ahli Parlimen tidak hadir pada persidangan hari ini.
Parlimen dijangka mengadakan satu lagi undian minggu depan pada 19 dan 20 Julai dan Pita boleh bertanding lagi andai dicalonkan semula.
Hari ini, undian untuk memilih perdana menteri bermula pada 4.05 petang (waktu tempatan).
Undian itu detik penting bagi semua 500 Ahli Parlimen dan 249 senator (seorang senator meletak jawatan pada Rabu). Mereka perlu mengisytiharkan secara terbuka sama ada 'bersetuju,' 'tidak bersetuju,' atau 'berkecuali'.
Sementara itu, Pita berkata beliau akur dengan keputusan hari ini; namun, tidak akan berputus asa.
Ketika ditanya sama ada Pheu Thai, yang memenangi jumlah kerusi kedua terbesar (141) perlu diberi peluang untuk membentuk kerajaan seterusnya, Pita menjawab, "Ini belum masanya lagi."
Menjawab soalan sama ada MFP akan menghentikan usahanya meminda Perkara 112 Kanun Jenayah, juga dikenali sebagai undang-undang lese-majeste, Pita berkata ia adalah pendirian parti itu.
"Inilah apa yang kami ikrarkan kepada rakyat," katanya.
MFP, yang memenangi 151 kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU)14 Mei dan memperoleh lebih 14.2 juta undi, mengetuai gabungan lapan parti yang bersama-sama memperoleh 312 daripada 500 kerusi di Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, gabungan itu masih memerlukan 63 undi kerana 249 senator yang dilantik oleh junta mungkin menjadi batu penghalang dalam usaha Pita untuk menjadi perdana menteri.
-- BERNAMA