Pita Limjaroenrat dakwa cukup sokongan jadi PM Thailand
Astro Awani
Jun 27, 2023 16:41 MYT
Jun 27, 2023 16:41 MYT
BANGKOK: Ketua Parti Move Forward, Pita Limjaroenrat mendakwa mempunyai sokongan yang mencukupi di Dewan Senat untuk menjadi Perdana Menteri Thailand beberapa hari sebelum sesi persidangan Parlimen bermula.
Calon Perdana Menteri sensasi itu berkata, undang-undang yang menetapkan penjara sehingga 15 tahun bagi kesalahan yang menentang monarki, digunakan sebagai 'alat politik' terhadap penentang kerajaan ketika ini.
“Pindaan Perkara 112 adalah penyelesaian untuk rakyat Thailand, kerana pada masa lalu ia digunakan sebagai 'alat politik' terhadap penentang kerajaan semasa dan belia, yang tidak baik untuk institusi itu.
"Selain itu, untuk mengekalkan apa yang kita suka, ia perlu dikemas kini untuk mengikuti perkembangan masyarakat, dan ini bukanlah sesuatu yang akan menghalang kerajaan (baharu) daripada dibentuk," katanya seperti dilapor REUTERS pada Selasa.
Media sebelum ini melaporkan beberapa Senator berikrar tidak akan mengundi Pita sebagai Perdana Menteri seterusnya atas dakwaan partinya menentang Perkara 112 iaitu undang-undang menghina Raja.
Mengikut perlembagaan untuk menjadi Perdana Menteri, Pita memerlukan sekurang-kurangnya 376 undi dalam sidang Parlimen termasuk dewan tertinggi membabitkan 250 anggota yang kebanyakannya dipilih oleh tentera apabila mengambil alih kuasa pada 2014.
Untuk melantik Pita sebagai Perdana Menteri Thailand, gabungan lapan parti memerlukan majoriti daripada 500 kerusi Dewan Rakyat dan 250 kerusi Senat.
Parti Move Forward memenangi pilihan raya menerusi platform antipentadbiran, sekali gus bertentangan dengan jeneral tentera konservatif dan elit perniagaan lama yang mengawal politik Thailand sejak sekian lama.