Pisau merah jambu misteri ditemui dalam bilik darjah cucu Maharaja Akihito Jepun

Afiq Ariffin
April 27, 2019 07:45 MYT
Putera Hisahito (tengah) dijangka menjadi waris kedua dalam takhta selepas Maharaja Akihito berundur. - Foto REUTERS
POLIS Jepun melancarkan satu siasatan khas selepas dua bilah pisau ditemui berhampiran meja sekolah cucu kepada Maharaja Akihito Jepun yang berusia 12 tahun
Menurut laporan media tempatan, pisau berkenaan ditemui pada hari Jumaat di sebuah bilik darjah di sekolah rendah yang dihadiri oleh Putera Hisahito.
Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), Polis mendapati kelibat seorang lelaki yang berpakaian serba biru dan memakai topi keledar telah memecah masuk kawasan sekolah.
Polis percaya lelaki yang tidak dikenali di dalam CCTV itu, telah memecah masuk bangunan sekolah dengan menyamar sebagai pekerja pembinaan di Universiti Ochanomizu.
Polis juga memberitahu bahawa ketika lelaki itu memecah masuk sekolah itu, Putera Hisahito dan rakan-rakannya berada di bahagian lain bangunan tersebut.
Walaupun putera raja itu sering dijaga dan dikawal rapi oleh pasukan keselamatan, mereka tidak menemaninya ketika beliau berada di dalam bilik darjah sekolah, kata pegawai Agensi Hal Ehwal Domestik Raja-Raja Jepun kepada media tempatan.
Menurut sumber juga, terdapat sekeping pita yang dilekatkan pada setiap meja di dalam kelas tersebut dengan nama para pelajar sekolah itu dipaparkan, menjadikan kerusi putera itu senang dikenalpasti.
Malah, pihak polis memberitahu kedua-dua bilah pisau itu juga dicat dengan warna merah jambu.
Kejadian itu berlaku ketika Jepun sedang dalam persediaan untuk upacara penurunan takhta Maharaja Akihito yang berlangsung pada hari Selasa.
Putera Hisahito dijangka menjadi barisan kedua dalam takhta selepas penurunan takhta Maharaja Akihito minggu depan.
Maharaja Akihito yang berusia 85 tahun itu bersedia untuk meletak jawatan secara sukarela ekoran tahap kesihatannya yang semakin menurun.
Beliau menamatkan pemerintahannya selama 30 tahun dan ia merupakan pengunduran pertama dilakukan oleh maharaja sejak 1817.
Anaknya, Putera Mahkota Naruhito, dijangka akan menaiki Takhta “Chrysanthemum” pada keesokan harinya.
Golongan kerabat raja di Jepun tidak memegang sebarang kuasa politik namun berfungsi sebagai simbol kebangsaan.
Keluarga raja Jepun juga sangat popular dalam kalangan rakyatnya dan ancaman terhadap mereka agak jarang berlaku.
#CCTV #Jepun #Maharaja Akihito #pisau #Putera Hisahito #putera raja #sekolah #siasatan
;