Pintu tandas pesawat Cathay Pacific tertanggal ketika dalam perjalanan ke New York

Astro Awani
Julai 18, 2024 04:30 MYT
Menurut catatan di video berkenaan, pintu itu tertanggal kira-kira tiga minit selepas pesawat tersebut berlepas. - Foto X/Uncensored News
SYARIKAT penerbangan Hong Kong, Cathay Pacific Airways telah melancarkan siasatan susulan insiden pintu tandas yang tertanggal ketika dalam perjalanan ke New York pada Isnin.
Rakaman video kejadian, yang menjadi tular, menunjukkan seorang pramugari cuba memegang pintu tersebut daripada terjatuh semasa duduk di tempat duduk anak kapal.
Menurut catatan di video berkenaan, pintu itu tertanggal kira-kira tiga minit selepas pesawat tersebut berlepas.
"Perkara tersebut telah dipulihkan dan pasukan kejuruteraan kami sedang melakukan siasatan susulan," kata Cathay Pacific dalam satu kenyataan kepada portal berita South China Morning Post.
"Keselamatan pelanggan dan anak kapal kami mempengaruhi setiap keputusan yang kami ambil.
"Kami mohon maaf kepada pelanggan kami atas sebarang kesulitan yang dihadapi," katanya lagi.
Penumpang pesawat CX840 dilapor tidak mengalami sebarang kecederaan kerana kesemua mereka sedang duduk di tempat masing-masing dan memakai tali pinggang keledar ketika kejadian.
#Cathay Pacific #pintu tandas #pesawat #tertanggal