Pintas China, jumlah penduduk tertinggi di dunia bakal milik India

Faida Rahim
Januari 18, 2023 18:55 MYT
Data menunjukkan semakin ramai penduduk India tidak mencari kerja berikutan kekurangan peluang dan gaji yang rendah.- REUTERS
MUMBAI: Jumlah penduduk di negara India dilaporkan bakal mengatasi negara China tahun ini sekali gus menjadi negara paling ramai penduduk di dunia.
Memetik CNN, kemungkinan penduduk India akan melepasi angka populasi China beberapa bulan lagi iaitu sekitar bulan April apabila China melaporkan jumlah penduduk menyusut pada 2022 buat kali pertama dalam tempoh 60 tahun.
Dalam pada itu, peralihan ini akan mewujudkan implikasi ekonomi ketara bagi kedua-dua negara gergasi Asia itu yang mempunyai lebih daripada 1.4 bilion penduduk.
Ketika ini dianggarkan India mempunyai 1.39 bilion penduduk berbanding China, 1.41 bilion penduduk.
Populasi | Pertumbuhan penduduk China terus turun ke paras terendah
China juga dilaporkan berdepan pertumbuhan ekonomi yang paling buruk dalam hampir setengah abad, menggariskan cabaran besar dihadapi negara itu apabila tenaga buruhnya menyusut manakala jumlah pesara meningkat.
Bagi India, apa yang disebut pakar ekonomi dan penganalisis sebagai "dividen demografi" dilihat mampu terus menyokong pertumbuhan pesat apabila bilangan pekerja sihat terus meningkat.
Walau bagaimanapun, terdapat kebimbangan memandangkan India dilihat tidak mewujudkan peluang pekerjaan mencukupi untuk menampung jutaan penduduk mudanya yang sudah memasuki fasa mencari pekerjaan.
Menurut data Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) pada 2021, penduduk bekerja di India kini berjumlah lebih 900 juta orang dan jumlah ini dijangka mencecah lebih 1 bilion penduduk untuk dekad akan datang.
Namun begitu, pakar memberi amaran bahawa angka ini boleh bertukar menjadi satu liabiliti jika pembuat dasar tidak mewujudkan pekerjaan yang mencukupi.
Dalam masa sama, data menunjukkan semakin ramai penduduk India tidak mencari kerja berikutan kekurangan peluang dan gaji yang rendah.
Menurut data 2021 daripada Bank Dunia, kadar penyertaan tenaga buruh India, anggaran tenaga kerja aktif dan orang yang mencari pekerjaan, berada pada paras 46 peratus yang merupakan antara yang terendah di Asia.
Sebagai perbandingan, paras untuk China dan Amerika Syarikat masing-masing berada pada 68 peratus dan 61 peratus pada tahun sama.
Bagi wanita, angka itu lebih membimbangkan. Kadar penyertaan kerja wanita India hanya 19 peratus pada 2021, menurun kira-kira 26 peratus pada 2005.
Ini kerana, kekurangan pendidikan berkualiti tinggi adalah salah satu sebab terbesar di sebalik krisis pengangguran di India.
Menurut Institut Negara McKinsey Global pada tahun 2020 sekurang-kurangnya 90 juta peluang kerja bukan sektor peladangan menjelang 2030 perlu disediakan untuk menyerap pekerja baharu termasuk dalam sektor pembuatan dan pembinaan.
#Asia #India #China #penduduk dunia
;