Pilu! Bayi maut ketika dalam pelukan ibu selepas kapal dinaiki karam
Agensi
April 4, 2021 12:40 MYT
April 4, 2021 12:40 MYT
JAKARTA: Kemalangan kapal penumpang di laluan Pulau Ende-Kampung Numba Basa, pada tengah hari Sabtu meninggalkan kisah pilu.
Seorang bayi berusia setahun lemas, walaupun si ibu telah berusaha menyelamatkannya, lapor portal berita Kompas.com.
"Si ibu menggendong anaknya sambil berenang. Tapi, nyawa anak kecil itu tidak dapat diselamatkan. Ibunya selamat," kata pihak berkuasa memetik laporan tersebut.
Ketika kejadian, Kapal KM Empat Bersaudara itu dalam perjalanan dari Pulau Ende, Desa Numba Basa, ke daerah Nangapanda dan membawa 24 penumpang.
Hanya selepas 15 minit memulakan perjalanan, kapal itu dilanda ombak yang menyebabkan ia karam di Laut Sawu.
Pasukan penyelamat yang digerakkan ke tempat kejadian berjaya membawa naik kesemua 24 mangsa.
"Kesemua mangsa kemudian dibawa ke pusat perubatan dengan perincian 23 mangsa terselamat dan seorang bayi meninggal dunia," kata siaran media yang dikeluarkan pada malam Sabtu.