Pilpres 2024: Pendaftaran calon dan wakil Presiden Indonesia bermula
Astro Awani
Oktober 19, 2023 15:43 MYT
Oktober 19, 2023 15:43 MYT
JAKARTA: Pendaftaran calon bagi jawatan Presiden republik Indonesia dan calon wakil presiden bagi Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024 bermula pada Khamis.
Proses pendaftaran akan berlangsung selama 7 hari sehingga 25 Oktober ini.
Persaingan presiden dijangka dikuasai tiga individu termasuk Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto, 72 tahun, selain bekas gabenor, Ganjar Pranowo dan Anies Baswedan, kedua-duanya berusia 54 tahun.
Pilpres 2024 dijalankan bagi menggantikan presiden Joko Widodo selepas hampir sedekad memegang jawatan itu.
Calon Anies Baswedan yang juga bekas gabenor Jakarta dan rakan gandingannya, Muhaimin Iskandar sejurus mendaftar di Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia sudah memberi isyarat bahawa akan membentangkan platform dasar mereka dalam masa terdekat.
Tinjauan pendapat yang dilakukan di republik itu baru-baru ini menunjukkan Ganjar pula bersaing rapat dengan Prabowo, yang membuat percubaan kali ketiga bagi jawatan presiden selepas tewas kepada Jokowi pada 2014 dan 2019.
Hampir 205 juta daripada lebih 270 juta penduduk Indonesia pada Februari tahun depan akan memilih siapa yang akan menerajui negara dengan sumber ekonomi yang diramal berjumlah lebih AS$1 trilion (RM4.74 trilion) selain mengambil alih jawatan yang perlu meningkatkan pelaburan asing, membangunkan industri hiliran dan mengurangkan pergantungan bahan api fosil.