Pilpres 2024 Indonesia: Anies 1, Prabowo 2 dan Ganjar 3

Astro Awani
November 14, 2023 07:45 MYT
Dari kiri pasangan Anies Rasyid Baswedan-Muhaimin Iskandar, Prabowo Subianto-Gibran Rakabuming Raka dan Ganjar Pranowo-Mahfud MD pada majlis undian calon-calon Presiden dan Naib Presiden malam tadi. - Foto Instagram/kpu_ri
JAKARTA: Pasangan Anies Rasyid Baswedan-Muhaimin Iskandar memperoleh nombor satu pada kedudukan senarai calon bagi Pemilihan Presiden 2024 (Pilpres 2024) Indonesia dalam kertas undi.
Berada di kedudukan kedua pula ialah pasangan Prabowo Subianto-Gibran Rakabuming Raka sementara di tangga ketiga senarai calon Pilpres 2024 ialah pasangan Ganjar Pranowo-Mahfud MD.
Bagi Prabowo, hasil pengundian nombor yang diperoleh kali ini sama dengan nombor pada pemilihan 2019 ketika beliau bergandingan dengan Sandiaga Uno.
Nombor giliran berkenaan akan dipakai kesemua calon Presiden dan Naib Presiden sepanjang kempen berlangsung sehingga hari pengundian pada 14 Februari 2024 kelak.
Nombor kedudukan dalam senarai Pilpres 2024 itu diperoleh berdasarkan undian calon-calon Presiden dan Naib Presiden yang berlangsung di ibu pejabat Komisi Pemilihan Umum (KPU) di sini, malam tadi.
Kesemua calon pasangan Presiden dan Naib Presiden melakukan cabutan sendiri nombor giliran masing-masing.
Selain calon-calon yang akan mengambil bahagian dalam pesta demokrasi Indonesia itu, hadir sama pada acara pemilihan nombor giliran Pilpres 2024 ialah pimpinan tertinggi parti-parti politik serta pasukan kempen kubu masing-masing.
Sehari sebelum itu, KPU Indonesia telah mengumumkan senarai muktamad calon Presiden dan Naib Presiden yang akan menyahut cabaran dalam Pilpres 2024 bagi memilih pimpinan baharu.
Tiga pasangan penggiat politik yang disenaraikan secara rasmi oleh KPU ialah pasangan Anies Baswedan dan Muhaimin Iskandar; Ganjar Pranowo dan Mahfud MD serta Prabowo Subianto dan Gibran Rakabuming.
#Pilpres Indonesia 2024 #Anies Rasyid Baswedan-Muhaimin Iskandar #Prabowo Subianto-Gibran Rakabuming Raka #Ganjar Pranowo-Mahfud MD
;