Pilpres 2019: Jokowi semakin selesa mendahului, Prabowo boikot proses pengiraan undi

Bernama
Mei 15, 2019 15:49 MYT
Jokowi memperoleh 71,029,379 undi, manakala Prabowo meraih 55,282,221 undi. -Gambar fail
Proses pengiraan kertas undi bagi Pilihan Raya Presiden Indonesia kini melebihi 80 peratus, dengan Presiden Joko Widodo (Jokowi) selesa mendahului pencabarnya, Prabowo Subianto.
Prabowo, yang sebelum ini menolak hasil keputusan 'quick count' atau hitung cepat oleh badan-badan bebas yang turut memenangkan Jokowi, kini bertindak pula memboikot proses pengiraan undi rasmi oleh Komisi Pemilihan Umum (KPU), yang didakwanya berlaku unsur penipuan.
Mengikut pengiraan undi menerusi laman web rasmi KPU setakat tengah hari ini, pengiraan undi itu melibatkan 669,846 daripada 813,350 Tempat Pembuangan Suara (TPS) atau pusat pengundian.
Jokowi yang mempertahankan jawatannya, bersama pasangannya untuk jawatan naib presiden, Ma' ruf Amin memperoleh 71,029,379 undi, manakala Prabowo dan pasangannya Sandiaga Uno meraih 55,282,221 undi.
Pada 17 April lepas, sebanyak 77.5 peratus daripada 192,828,520 pengundi yang layak, mengundi pada Pilihan Raya Umum Indonesia (Pemilu 2019).
Proses pengiraan undi Pemilu 2019 dijangka selesai 22 Mei ini.
Pemerhati politik melihat tindakan Prabowo yang mencetuskan polemik baharu dengan menolak proses pengiraan undi oleh KPU itu sebagai tindakan yang tidak jelas dan tidak berdasarkan fakta.
"Curangnya (penipuannya) di mana? Siapa yang melakukan? Bagaimana modelnya dan modusnya? Tidak ada informasi soal hal-hal tersebut disampaikan.
"Penolakan (boikot) itu tidak dibangun atas data dan fakta," kata penganalisis berkenaan.
#Indonesia #Joko Widodo #Jokowi mendahului undian #Komisi Pemilihan Umum #KPU #pilihan raya #pilihan raya umum #Pilpres 2019 #Prabowo Subianto
;