Pilkada: Keadaan di Jakarta terkawal, media pantau perkembangan
Madiha Abdullah
Ogos 23, 2024 17:00 MYT
Ogos 23, 2024 17:00 MYT
KUALA LUMPUR: Keadaan di Jakarta kini kembali terkawal dan penunjuk perasaan sudah mula bersurai selepas Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) membatalkan pengesahan pindaan undang undang Pemilihan Kepala Daerah (Pilkada) Indonesia pada Khamis.
Namun begitu, media Indonesia memaklumkan tiada kenyataan dan mekanisme bertulis rasmi berhubung pembatalan itu.
Menurut Ketua Penerbitan Berita SCTV, Riko Anggara, ketika ini media sedang memantau situasi menjelang pendaftaran Pilkada pada 27 Ogos ini.
“Kelmarin, pihak istana mengatakan, selama ketetapan atau pindaan undang-undang (UU) Pilkada itu tidak dilakukan, yang akan diikuti adalah ketetapan dari Mahkamah Konstitusi (MK).
“Yang kita tunggu hanya tarikh 27 (Ogos) ini, sebetulnya sampai hari pendaftaran itu biasanya (ketika berlangsung) demonstrasi besar, tidak ada dialog... kerana sebenarnya apa yang ingin diinginkan oleh penunjuk perasaan adalah (desakan mereka) dikabulkan.
“Komisi Pemilihan Umum (KPU) sudah mengatakan bahawa pindaan UU Pilkada bakal disahkan mengikut undang-undang yang disahkan oleh MK, dan pihak Istana juga senada (menyatakan demikian).
“Maka, prosesnya menunggu ketetapan daripada undang-undang, itu saja.
“Dalam waktu terdekat, KPU akan berkonsultasi dengan DPR. Kita akan lihat ketetapannya,” katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI, pada Jumaat.
Tambah Riko, banyak pihak agak resah kerana sejarah membuktikan Indonesia pernah beberapa kali berhadapan dengan situasi di mana pindaan UU dilaksanakan ketika orang ramai leka atau terlepas pandang.
“Ada beberapa undang-undang disahkan pada tengah malam. Kerana itu kita perlu perhatikan sehingga tarikh 27 Ogos ini.
“Tetapi kebiasaannya, memang tidak ada mekanisma bertulis secara hitam putih,” katanya lagi.
Pindaan UU Pilkada mencetus protes di Indonesia kerana dianggap melawan keputusan Mahkamah Konstitusi, dan disusun hanya untuk kepentingan golongan tertentu.
Terdahulu, Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia pada Khamis menegaskan akan mematuhi keputusan yang ditetapkan Mahkamah Konstitusi berhubung Pilkada.
Keputusan mahkamah itu dibuat susulan permohonan semakan kehakiman oleh Parti Buruh dan Parti Gelora dan akan tetap berkuat kuasa ketika pendaftaran calon Pilkada 2024 pada 27 Ogos ini kerana Rang Undang-Undang (RUU) Pilkada masih belum diluluskan.
Berikutan pembatalan kelulusan RUU Pilkada, anak lelaki bongsu Presiden Joko Widodo, Kaesang Pangarep, tidak akan layak bertanding jawatan Gabenor Jawa Tengah atas faktor umur ketika pendaftaran calon.