Pilkada Jakarta: Anies mendahului dalam kiraan pantas, keputusan rasmi awal Mei

Agensi
April 19, 2017 15:47 MYT
Anies dilihat mendahului dalam keputusan tidak rasmi pemilihan Gabenor Jakarta. - Reuters
Bekas menteri pendidikan Indonesia, Anies Baswedan, dalam satu fasa pengiraan undi dilihat mendahului calon gabenor Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok dalam pemilihan Kepala Daerah (Pilkada) Jakarta yang berlangsung sejak pagi ini.
Dalam kiraan pantas yang tidak rasmi, Anies memperoleh 51.93 undi, sementara Ahok 48.07 peratus.
Seseorang calon perlu majoriti mudah untuk menang, dan suruhanjaya pilihan raya akan mengumumkan keputusan rasmi pada awal Mei.
Pungutan suara pilihan raya tersebut banyak berkisar pada perdebatan latar belakang kedua-dua calon itu – Ahok yang beretnik Cina beragama Kristian, dan Anies yang merupakan seorang Muslim, seperti 85 peratus penduduk Jakarta.
Memandangkan peranan Jakarta sebagai ibu negara dan pusat komersial, keputusan Pilkada kali ini disifatkan sebagai penentu iklim pilihan raya kepresidenan pada tahun 2019.
Ahok mendapat sokongan Presiden Joko Widodo atau Jokowi, sementara Anies mendapat sokongan jeneral bersara konservatif, Prabowo Subianto, yang pernah kalah kepada Jokowi dalam saingan jawatan presiden tahun 2014.
Pilihan raya itu juga dilihat menguji demokrasi Indonesia dan rekod toleransi agama.
Sebelum ini kempen politik Pilkada diwarnai perarakan besar oleh gerakan ektremis agama, yang semakin menunjukkan pengaruh dalam negara yang selama ini mengamalkan kesederhanaan dalam Islam.
Polis berkata, sekitar 15 orang sudah ditahan kerana melakukan provokasi di pusat-pusat pengundian.
“Perbezaan politik tidak seharusnya memecahbelahkan kesatuan kita. Kita semua bersaudara. Siapa pun yang bakal dipilih, kita harus terima,” ujar Jokowi dalam satu kenyataan selepas membuang undi di pusat pengundian di tengah-tengah Jakarta.
#ahok #Anies Baswedan #calon #Gabenor #Indonesia #Islam #Jakarta #Joko Widodo #pemilihan #politik #presiden
;