Pilkada 2024: Semua daerah sudah siap sedia - KPU RI
Agensi
November 26, 2024 06:53 MYT
November 26, 2024 06:53 MYT
JAKARTA: Ketua Komisi Pemilihan Umum Republik Indonesia (KPU RI), Mochammad Afifuddin memastikan semua daerah di Indonesia bersiap sedia melaksanakan Pemilihan Kepala Daerah (Pilkada) 2024 serentak pada Rabu.
Afifuddin memberitahu, beberapa daerah seperti Lumajang, Pamekasan, Surabaya, dan Sidoarjo telah melakukan persiapan sepenuhnya dari segi logistik dan Tempat Pemungutan Suara (TPS).
"Saya pastikan Pilkada sudah siap dilaksanakan, baik di Jawa Timur mahupun seluruh daerah di Indonesia," kata Afifuddin.
Tambah beliau, tiada sebarang halangan dilaporkan oleh KPU di seluruh Indonesia sehari menjelang hari pengundian, termasuk isu khusus atau pengedaran logistik.
Berhubung insiden berdarah di Sampang, Madura yang berlaku terdahulu, Afifuddin memastikan bahawa kawasan tersebut kini selamat.
Tambahnya, insiden tersebut bukan berpunca daripada penyelenggara atau KPU setempat.
"Kami ingin pastikan tiada masalah yang timbul dari pihak penyelenggara (KPU). Jika ada dinamika dalam masyarakat, kami meminta agar pihak tokoh agama dan pasukan keselamatan bekerjasama," kata Afifuddin.
Dalam pada itu, Afifuddin juga menyambut kedatangan wakil dari 36 negara di Surabaya untuk Program Lawatan Pilihan Raya (Election Visit Program, EVP) yang akan memantau dan mempelajari sistem Pilkada di Indonesia, terutamanya di Jawa Timur.
Menurut Afifuddin, Jawa Timur dipilih sebagai tuan rumah program ini atas faktor daya tarikan, termasuk tiga calon wanita untuk jawatan Gabernor dan lima pasangan calon tunggal.
Sementara itu, para delegasi asing ini gembira ketika melakukan pantauan Pilkada di Jawa Timur yang mana mereka akan dibawa melawat beberapa TPS unik di Surabaya dan Sidoarjo.