JAKARTA: Seramai 207 juta pengundi di Indonesia akan kembali ke peti undi bagi memilih kepala daerah yang terdiri daripada gabernor, walikota (datuk bandar) dan bupati (ketua daerah) hari ini.

Proses pasca Pemilihan Umum (Pemilu) dan Pemilihan Presiden (Pilpres) itu akan melibatkan 37 provinsi, 415 kabupaten dan 93 kota di seluruh Indonesia.

Pilkada serentak kali ini merupakan yang kelima dalam sejarah Indonesia.

Sistem ini diperkenalkan untuk menyelaraskan pemilihan kepala daerah di semua wilayah, kabupaten, dan kota.

Bagaimanapun, terdapat beberapa pengecualian, termasuk Provinsi Istimewa Yogyakarta yang tidak melaksanakan Pilkada.

Di Yogyakarta, kepala daerah tidak dipilih melalui pemilihan umum.

Sebaliknya ditetapkan berdasarkan sistem kerajaan dengan Sultan Yogyakarta secara automatik menjawat jawatan gabenor.

Sementara itu, di Daerah Khusus Ibu Kota (DKI) Jakarta, jawatan bupati dan walikota dilantik oleh gabenor dengan persetujuan Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) mengikut Undang-Undang No. 29 Tahun 2007.

Pilkada di Jakarta menarik perhatian kerana sistemnya yang unik.

Ini kerana Jakarta menjadi satu-satunya provinsi di Indonesia yang melaksanakan Pilkada dalam dua pusingan sekiranya tiada pasangan calon gabenor dan wakil gabenor mendapat lebih daripada 50 peratus undi pada pusingan pertama.

Pemilihan kali ini bakal menjadi sengit kerana Jakarta memainkan peranan penting sebagai ibu kota negara.

Keputusan akhir Pilkada dijangka memberikan gambaran awal tentang landskap politik tempatan menjelang pelantikan gabenor baharu pada 7 Februari 2025.