Pilihan raya umum Australia berlangsung 18 Mei depan

Agensi
April 11, 2019 10:41 MYT
Perdana Menteri Australia Scott Morrison hari ini mengumumkan pilihan raya umum negara itu akan berlangsung pada 18 Mei depan. - Gambar fail/TWITTER@ScottMorrisonMP
Perdana Menteri Australia Scott Morrison hari ini mengumumkan pilihan raya umum negara itu akan berlangsung pada 18 Mei depan.
Pilihan raya tersebut bakal menentukan sama ada kerajaan konservatif akan memenangi penggal ketiga atau digantikan dengan pentadbiran parti Buruh pimpinan Bill Shorten.
Kesemua 150 kerusi Dewan Rakyat akan dipertandingkan manakala separuh dari 76 kerusi Senat akan menjadi rebutan.
"Pilihan raya umum ini akan menentukan kelangsungan ekonomi rakyat Australia, bukan hanya untuk tiga tahun akan datang malah untuk dekad seterusnya.
"Kita tinggal dalam negara terbaik di dunia namun untuk menjamin masa depan ia bergantung kepada ekonomi yang kuat," kata Morrison ketika sidang media.
Tidak seperti kuasa demokrasi lain, Australia mempunyai undang-undang mandatori mewajibkan penduduk berusia 18 tahun ke atas mengundi atau berdepan risiko didenda.
Ia bagi memastikan peratusan keluar mengundi yang tinggi, pada pilihan raya umum terdahulu 95 peratus pengundi Australia dilapor membuang undi. - Agensi
#Bill Shorten #Parti Buruh #Perdana Menteri #Perdana Menteri Australia #pilihan raya Australia #pilihan raya umum #Scott Morrison #undang-undang
;