Pilihan raya UK: Tentangan dihadapi tidak luntur perjuangan Parti Konservatif terhadap belia
Nickyson Nyambar
Julai 4, 2024 09:00 MYT
Julai 4, 2024 09:00 MYT
KUALA LUMPUR : Tentangan hebat yang dihadapi oleh Parti Konservatif pimpinan Rishi Sunak tidak akan melunturkan sebarang agenda yang diketengahkan menerusi manifesto pilihan raya umum United Kingdom (UK) yang berlangsung hari ini (4 Julai).
Menteri Pertahanan UK dalam Kabinet Sunak, Grant Shapps menerusi wawancara eksklusif dengan Astro AWANI pada Rabu berkata, perjuangan utama Parti Konservatif termasuk dalam mencorak masa depan belia yang lebih baik.
Menurut beliau, peranan belia amat signifikan dalam membantu masyarakat global mendepani perubahan teknologi digital masa kini, selain dapat memperkukuhkan lagi hubungan bilateral antara negara termasuk di Malaysia.
"Menang atau tidak, United Kingdom pasti mahu meneruskan hubungan bilateral yang rapat dengan pelbagai negara di seluruh dunia, di Malaysia secara spesifiknya.
"Malaysia dan United Kingdom mempunyai sejarah yang panjang dan mempunyai kesefahaman yang begitu hebat, Malaysia juga merupakan pelabur terbesar di United Kingdom.
"Saya merasakan United Kingdom dan Malaysia perlu memberikan penekanan yang lebih meluas untuk membantu generasi masa depan kita ini, dalam bidang ekonomi, pendidikan serta pelancongan misalnya," kata Shapps.
Ahli Parlimen Parti Konservatif bagi kerusi Welwyn Hatfield dari 2005 ke 2024 itu juga memberitahu, penularan wabak COVID-19 telah membuktikan bahawa peranan dimainkan belia khusus sekali dalam mendepani masa depan teknologi digital adalah penting dan signifikan dalam mengubah kehidupan masyarakat global menjadi lebih efisien dan berdaya saing.
Justeru, Shapps melihat konteks ini adalah prinsip utama untuk mencorak masa depan pentadbiran UK yang akan dijadikan asas dalam memperkukuhkan hubungan negara itu.
Antara lain, beliau dalam masa yang sama melihat Malaysia berpotensi besar untuk dijadikan hub pembangunan golongan itu di rantau Asia khusus sekali dalam bidang pendidikan.
"United Kingdom berharap lebih banyak peluang dapat diperolehi yang memberi manfaat kepada generasi muda di kedua-dua negara serta di negara-negara Asia yang lain.
"Membangunkan Malaysia sebagai hab (pendidikan) di Asia. Jadi kami amat mengharapkan kerjasama bilateral kita lebih erat," tambah beliau yang berpengalaman luas menyertai House of Commons di bawah era kepimpinan lima Perdana Menteri UK yang berbeza sebelum ini dengan pelbagai jawatan yang pernah disandang.
Shapps, 55, menyandang jawatan Menteri Pertahanan UK di bawah kabinet Sunak sejak Ogos 2023.
Terdahulu, Sunak menerusi kempennya mengetengahkan usaha untuk mewajibkan remaja berusia 18 tahun untuk menjalani latihan khidmat negara sekiranya Parti Konservatif (Tories) memenangi pilihan raya pada 4 Julai ini.
Perdana Menteri UK itu berkata, Britain mempunyai "generasi muda yang tidak mendapat peluang yang mereka berhak dapatkan" sambil mendakwa bahawa langkah radikal ini akan membantu menyatukan masyarakat dalam "dunia yang semakin tidak menentu".
Pemilihan anggota kerajaan House of Commons bakal berlangsung 4 Julai dengan pola pengundian setakat ini menunjukkan bahawa pemimpin Parti Buruh, Keir Starmer mendahului dalam senarai pilihan rakyat.
Ini sekali gus mungkin menjadi petanda bahawa UK akan menyaksikan sejarah pertukaran kerajaan baharu menggantikan Sunak yang kini memasuki tahun ke-14 dalam kabinet negara itu.
Jutaan pengundi Britain dijangka turun menunaikan tanggungjawab bagi memilih 650 anggota Parlimen merentasi pelbagai konstituensi.
Antara isu yang menjadi sentimen kuat dalam kalangan rakyat negara itu termasuk tenaga, kos sara hidup, perang di Ukraine dengan Rusia serta pendirian UK terhadap kekejaman yang terus berlaku di Gaza.
Ini adalah merupakan hasil tinjauan oleh YouGov, berikutan beberapa isu yang ditekankan sepanjang pilihan raya umum UK kali ini:
* Ekonomi - 52%
* Penjagaan kesihatan - 50%
* Imigresen - 40%
* Krisis perumahan -24%
* Alam sekitar - 20%
Astro AWANI akan membawakan perkembangan mengenai pemilihan bagi kabinet dengan sejarah panjang ini.