Pilihan raya Turkiye: Sokongan pengundi untuk Presiden Erdogan merosot

Agensi
Mei 15, 2023 09:15 MYT
Sokongan pengundi untuk Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan merosot di bawah majoriti yang diperlukan bagi memenangi Pemilihan Presiden. - Gambar fail AP
ISTANBUL: Sokongan pengundi untuk Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan merosot di bawah majoriti yang diperlukan bagi memenangi Pemilihan Presiden.
Menurut agensi Anadolu, dengan hampir 91 peratus peti undi dikira, Erdogan memperoleh 49.9 peratus undi.
Pencabar utamanya, Ketua Pembangkang Kemal Kilicdaroglu pula mendapat 44.4 peratus undian.
Jurang antara kedua-duanya dilihat tipis.
Sementara itu, agensi berita Anka yang berhaluan pembangkang melaporkan, Erdogan mendapat undian 49 peratus, manakala Kilicdaroglu 45 peratus.
Jika tidak ada calon yang memperoleh lebih daripada 50 peratus, kedua-duanya akan bersaing dalam undian semula dalam dua minggu akan datang iaitu pada 28 Mei.
Lembaga Pilihan Raya Turkiye tidak akan mendedahkan keputusan itu kepada umum sehingga pengiraan selesai dan dimuktamadkan.
Awal Ahad, Anadolu dan Anka memberikan keputusan awal yang berbeza daripada pilihan raya presiden negara itu.
Agensi anadolu yang dikendalikan kerajaan berkata, Erdogan mendahului dengan 51 peratus undi, manakala Kilicdaroglu, pencabar utamanya itu memperoleh 43 peratus selepas 75 peratus peti undi dikira.
Agensi berita Anka berkata, dengan undi daripada 76 peratus kotak dikira, Erdogan telah memenangi 48 peratus berbanding Kilicdaroglu 46 peratus.
Erdogan telah mentadbir Turkiye sama ada sebagai Perdana Menteri atau Presiden selama dua dekad.
Menjelang pilihan raya, tinjauan pendapat menunjukkan pemimpin itu mengekori pencabarnya.
Perlumbaan itu, yang sebahagian besarnya tertumpu kepada isu-isu domestik seperti ekonomi, hak sivil dan gempa bumi Februari lalu dilihat pilihan raya paling sukar dalam pemerintahan pemimpin Turkiye selama 20 tahun itu.
#Turkiye #Recep Tayyip Erdogan #Kemal Kilicdaroglu #pilihan raya Turkiye
;