Pilihan Raya Turkiye: Perhimpunan pembangkang dicemari insiden lemparan batu

Astro Awani
Mei 8, 2023 01:45 MYT
Polis terpaksa menggunakan meriam air bagi meleraikan penunjuk perasaan ketika kempen pilihan raya yang diadakan Datuk Bandar Istanbul Ekrem Imamoglu. - Foto REUTERS
ERZURUM: Ketegangan semakin meningkat menjelang Pilihan Raya Turkiye apabila sebuah perhimpunan parti pembangkang dicemari insiden rusuhan dan serangan.
Datuk Bandar Istanbul, Ekrem Imamoglu diserang oleh hampir 100 individu sewaktu perhimpunan pembangkang di timur Turkiye, Erzurum pada Ahad.
Kejadian itu berlaku sewaktu parti pembangkang, Parti Rakyat Republikan (CHP) mengadakan rapat umum di salah sebuah bandar benteng kuat parti pimpinan Presiden Recep Tayyip Erdogan.
Rakaman yang tular di media sosial menunjukkan pengawal keselamatan Imamoglu melindunginya dengan payung daripada serangan lemparan batu oleh orang ramai.
Serangan turut terarah kepada kenderaan kempen parti pembangkang yang membawa sejumlah pimpinan parti.
Selain itu, polis cuba meleraikan serangan dengan menggunakan meriam air.
Menerusi perkongsian di media sosial, Imamoglu menyatakan sekurang-kurangnya sembilan individu, termasuk seorang kanak-kanak, cedera dalam kejadian itu.
Imamoglu bakal bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden menerusi parti CHP.
Ini merupakan insiden serangan pertama ke atas kempen pilihan raya di Turkiye menjelang pilihan raya pada 14 Mei depan.
#pilihan raya Turkiye #rusuhan #serangan #perhimpunan parti pembangkang