Pilihan Raya Taiwan: Rakyat mula jalankan tanggungjawab masing-masing

Astro Awani
Januari 13, 2024 11:20 MYT
Rakyat Taiwan mula menjalankan tanggungjawab bagi Pilihan Raya Presiden dan Parlimen apabila peti undi dibuka pada Sabtu. - Foto AP
TAIPEI: Rakyat Taiwan mula menjalankan tanggungjawab bagi Pilihan Raya Presiden dan Parlimen apabila peti undi dibuka pada Sabtu.
Pilihan raya tersebut menyusul ketika Beijing meningkatkan tekanan untuk mendapatkan pulau itu menerima kedaulatannya.
Parti pemerintah, Parti Progresif Demokratik (DPP) yang memperjuangkan identiti Taiwan dan menolak tuntutan wilayah China, berusaha mempertahankan pentadbiran bagi penggal ketiga membabitkan calonnya, Naib Presiden Lai Ching-te.
Lai berdepan dua lawan utama iaitu Hou Yu-ih daripada parti pembangkang terbesar Taiwan iaitu Kuomintang (KMT) dan bekas Datuk Bandar Taipei, Ko Wen-je dari Parti Rakyat Taiwan (TPP), yang baharu ditubuhkan pada 2019.
Sebelum ini, China berulang kali mengecam Ching-te sebagai pemisah berbahaya, selain menolak untuk berunding.
Ching-te berkata, beliau komited untuk memelihara keamanan di seluruh Selat Taiwan, tetapi menuduh China cuba campur tangan dalam pengundian dengan menyebarkan maklumat yang salah dan meletakkan tekanan ketenteraan dan ekonomi ke atas pulau yang dilihat Beijing sebagai wilayah suci China.
Menurut KMT dan TPP, Taiwan memerlukan pertukaran kerajaan selepas lapan tahun pemerintahan DPP, walaupun usaha kedua-dua parti itu pada akhir tahun lalu untuk membentuk jalinan bersama menentang DPP, gagal.
DPP dan KMT kedua-duanya akan mengadakan perhimpunan terakhir mereka pada petang Jumaat di Taipei, New Taipei, manakala TPP pula berhampiran pejabat presiden.
Sementara itu, pengundi di Taiwan bersedia berjuang dalam pilihan raya bagi memberi masa depan lebih baik buat negara itu.
#China #Beijing #Taiwan #pilihan raya
;