Pilihan raya Taiwan: Lebih 19 juta dijangka keluar mengundi

Astro Awani
Januari 11, 2020 12:28 MYT
Han Kuo-yu dan Tsai Ing-wen (kanan) antara calon pilihan raya kali ini.
PILIHAN RAYA Taiwan bermula pada Sabtu dan keputusan paling awal dijangka diketahui beberapa jam selepas pusat pengundian ditutup pada 4 petang, lapor agensi berita CNA.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat (CEC), terdapat lebih 19.31 juta pengundi berdaftar akan mengundi di 22 bandar dan daerah.
Malah, hampir 70 peratus daripadanya datang dari enam majlis perbandaran khas iaitu Taipei, New Taipei, Taoyuan, Taichung, Tainan dan Kaohsiung.
Seramai 1.18 juta pengundi berumur antara 20 hingga 23 tahun menyumbang sebanyak enam peratus undi dan pertama kali mengundi.
Sejumlah 17,226 pusat pengundian dibuka di seluruh Taiwan bermula 8 pagi hingga 4 petang.
Sejurus pusat pengundian ditutup, kertas undi akan dikira dan dimaklumkan kepada pihak berkuasa pilihan raya pusat dan tempatan.
Presiden Tsai Ing-wen dari parti yang memerintah, Parti Progresif Demokratik (DPP) dicabar Han Kuo-yu dari parti pembangkang utama, Kuomintang (KMT) dan James Soong, pengerusi Parti People First (PFP).
Dalam Pilihan Raya Presiden 2016, Tsai menang mudah dengan mendapat 56.12 peratus undi berbanding Eric Chu dari KMT yang berkuasa ketika itu, hanya memperoleh 31.04 peratus dan Soong 12.84 peratus.
Jumlah keluar mengundi sebanyak 66.27 peratus, terendah pernah dicatatkan dalam enam pilihan raya presiden sejak 1996.
Dalam merebut kerusi parlimen, DPP buat pertama kali meraih majoriti dengan memenangi 68 kerusi, KMT memperoleh 35 kerusi diikuti parti New Power dengan lima kerusi dan parti People First dua kerusi.
Tahun ini seramai 650 calon dari 43 parti akan bersaing merebut 113 kerusi.
Presiden baharu yang dipilih akan mengangkat sumpah jawatan pada 20 Mei manakala anggota parlimen pada 1 Februari.
#CEC #Han Kuo-yu #Kaohsiung #Kuomintang #Parti Progresif Demokratik #Pilihan raya Taiwan #Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat #Taichung
;