Pilihan Raya Sri Lanka: Kawalan keselamatan pusat mengundi Colombo dipertingkat
Agensi
September 21, 2024 16:44 MYT
September 21, 2024 16:44 MYT
COLOMBO: Kawalan keselamatan di luar pusat mengundi di Colombo pada Sabtu terus dipertingkat.
Jutaan rakyat Sri Lanka keluar mengundi hari ini bagi memilih presiden baharu yang akan menggalas tanggungjawab mengukuhkan pemulihan ekonomi negara Asia Selatan itu, selepas dilanda krisis kewangan terburuk dalam tempoh beberapa dekad.
Ini merupakan pilihan raya pertama sejak ekonomi Sri Lanka mengalami kejatuhan pada 2022 akibat kekurangan rizab pertukaran asing yang dahsyat.
Ini turut menyebabkan negara pulau di Lautan Hindi itu tidak mampu membayar import barangan asas seperti bahan bakar, ubat, dan gas memasak.
Dalam pada itu, presiden baharu yang bakal memenangi pilihan raya kali ini akan berhadapan dengan tugas besar untuk memperkuat pemulihan ekonomi negara itu.
Seorang buruh tempatan, Kadir Selvarajah, selepas membuang undi meluahkan, rakyat di negara itu memerlukan kelegaan dan jaminan terutama dalam hal pekerjaan.
Lebih 17 juta daripada 22 juta penduduk Sri Lanka layak mengundi dalam pilihan raya presiden yang dijangka menjadi pertandingan sengit antara presiden sedia ada yang mahu memanjangkan penggal pemerintahan, Ranil Wickremesinghe; pemimpin pembangkang utama, Sajith Premadasa; dan pencabar berfikiran Marxist, Anura Kumara Dissanayake.
Pengundian bermula jam 7 pagi waktu tempatan (0130 GMT) dan berakhir pada jam 4 petang (1030 GMT), dengan pengiraan dijadualkan bermula tidak lama selepas itu.