Pilihan Raya Presiden Singapura 2023: Hari mengundi ditetapkan pada 1 September
Bernama
Ogos 11, 2023 19:00 MYT
Ogos 11, 2023 19:00 MYT
SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong telah mengeluarkan Writ Pilihan Raya bagi Pilihan Raya Presiden 2023 dengan Hari Pengundian ditetapkan pada 1 Sept.
Hari Penamaan Calon pula pada 22 Ogos, menurut Jabatan Pilihan Raya republik itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini Jumaat.
Setakat ini, empat individu telah menyatakan hasrat mereka bertanding iaitu Bekas Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam; pengasas Harvey Norman Ossia George Goh; bekas ketua pegawai pelaburan GIC Ng Kok Song; dan bekas calon presiden Tan Kin Lian.
Presiden Halimah Yacob, yang memegang jawatan pada 2017, tidak akan bertanding untuk penggal kedua sebagai ketua negara selepas penggal pentadbirannya tamat pada 13 September.
Halimah, 68, adalah presiden ke-8 Singapura dan wanita pertama berkhidmat sebagai presiden.
-- BERNAMA