Pilihan raya presiden Mesir pada Mac

Astro Awani
Januari 8, 2018 05:41 MYT
Lasheen Ibrahim berkata, pihaknya akan 'berusaha sedaya upaya menjalankan pilihan raya mengikut standard tertinggi keadilan dan ketelusan antarabangsa.' REUTERS
Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan (NEC) Mesir pada Isnin mengumumkan pilihan raya presiden bakal diadakan antara 16 dan 28 Mac, 2018.
Menurut suruhanjaya itu, ia menetapkan tempoh pengundian tiga hari bermula 16 hingga 18 Mac bagi pengundian luar negara.
Sementara bagi pengundian dalam negara, proses itu akan dijalankan daripada 26 hingga 28 Mac.
Keputusan pilihan raya dijangka diumumkan pada 2 April.
Sekiranya tiada calon berjaya mendapat lebih daripada 50 peratus undi, pengundian pusingan kedua akan diadakan antara 19 dan 26 April.
NEC menjelaskan, ia akan menerima permohonan calon yang mahu bertanding antara 20 dan 29 Januari dan nama calon yang layak akan diterbitkan menerusi akhbar rasmi kerajaan, Al-Ahram dan Al-Akhbar hujung bulan ini.
Pada satu sidang media, Lasheen Ibrahim, hakim yang mengetuai NEC berkata, pihaknya akan "berusaha sedaya upaya menjalankan pilihan raya mengikut standard tertinggi keadilan dan ketelusan antarabangsa."
Kali terakhir pilihan raya presiden Mesir diadakan adalah pada Mei 2014.
Ia menyaksikan kemenangan Presiden Abdel Fattah Al Sisi dengan undi lebih 96 peratus, menentang Hamdeen Sabahi.
Sehingga kini, Abdel Fattah belum memberi bayangan mahu mempertahankan jawatan atau tidak.
Ketika ini, satu-satunya calon yang mengumumkan mahu bertanding adalah peguam hak asasi, Khaled Ali.
Bekas perdana Menteri Ahmed Shafiq turut menyatakan hasrat mahu bertanding jawatan presiden, namun membatalkan niat itu.
#2018 #calon #Mesir #pilihan raya #presiden
;