Pilihan raya presiden Maldives menuju pusingan kedua

Bernama
September 10, 2023 14:40 MYT
Mengikut perlembagaan Maldives, seorang calon memerlukan lebih 50 peratus undi pada pusingan pertama untuk menang secara langsung. - Gambar hiasan
MALE (Maldives): Pilihan raya presiden Maldives pada Sabtu akan berlanjutan ke pusingan kedua berikutan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya Maldives (ECM) menunjukkan tiada calon yang memperoleh lebih 50 peratus undi pada pusingan pertama untuk menang secara langsung, lapor Xinhua.
Mohamed Muizzu, calon gabungan Parti Progresif Maldives (PPM) dan Kongres Kebangsaan Rakyat (PNC), dan penyandang Presiden Ibrahim Mohamed Solih telah menerima jumlah undian tertinggi, masing-masing memenangi 46.06 peratus dan 39.05 peratus undi, mengikut angka yang dikeluarkan oleh ECM.
Daripada 282,395 pengundi yang layak, 225,486 keluar mengundi dengan 220,651 undi sah dan 4,835 undi tidak sah, menurut ECM.
Mengikut perlembagaan Maldives, seorang calon memerlukan lebih 50 peratus undi pada pusingan pertama untuk menang secara langsung.
Jika tiada calon memperoleh majoriti sedemikian, dua calon teratas akan ke pusingan kedua. Laporan media tempatan berkata pilihan raya pusingan kedua akan berlangsung pada 30 September jika perlu.
--BERNAMA-XINHUA
TAG: Maldives, pilihan raya presiden, pusingan kedua
#Maldives #pilihan raya presiden #usingan kedua #Mohamed Muizzu
;