Pilihan raya Presiden Brazil: Lula da Silva menang tipis ke atas Bolsonaro

Astro Awani
Oktober 30, 2022 07:40 MYT
Luiz Inacio Lula da Silva (tengah) menang pilihan raya Presiden Brazil menewaskan Jair Bolsonaro dengan meraih 50.8 peratus undi berbanding Bolsonaro 49.2 peratus. -Reuters
BRASILIA: Luiz Inacio Lula da Silva memenangi pilihan raya Presiden Brazil dengan menewaskan penyandang Jair Bolsonaro.
Kiraan mahkamah pilihan raya tertinggi Brazil menunjukkan Lula da Silva meraih 50.8 peratus undi berbanding Bolsonaro 49.2 peratus setelah 98.8 peratus pengundian dikira.
Ia merupakan pilihan raya Brazil paling diingati antara penyandang presiden sayap kanan Bolsonaro menentang bekas pemimpin berhaluan kiri Lula da Silva.
Kemenangan ini dianggap penampilan semula Lula da Silva ke dunia politik selepas tidak bertanding dalam pilihan raya sebelum ini susulan skandal rasuah pada 2018.
Dalam manifestonya, Lula da Silva berikrar untuk lebih bertanggungjawab terhadap isu sosial dan alam sekitar bagi meningkatkan semula kemakmuran.
Presiden baharu akan mengangkat sumpah pada 1 Januari 2023.
Lebih 120 juta rakyat Brazil membuang undi dengan undian dijalankan secara elektronik.
Bagaimanapun terdapat juga kebimbangan Bolsonaro boleh mencabar keputusan pilihan raya sekiranya kalah.
Selama berbulan-bulan, beliau mendakwa mesin pengundi elektronik negara terdedah kepada penipuan, walaupun tidak pernah mengemukakan bukti.
#Luiz Inacio Lula da Silva #Jair Bolsonaro #pilihan raya presiden Brazil #undi elektronik
;