Pilihan Raya Parlimen Eropah bermula dengan pembukaan pusat mengundi Belanda

Bernama
Jun 6, 2024 23:35 MYT
Sebanyak 720 Ahli Parlimen Eropah (MEP) akan dipilih, dengan 31 kerusi diperuntukkan kepada Belanda. - Reuters
THE HAGUE: Pilihan Raya Parlimen Eropah bermula pada Khamis dengan pembukaan pusat mengundi di Belanda, negara pertama daripada 27 negara anggota Kesatuan Eropah (EU) yang mengundi, lapor Xinhua.
Sebanyak 720 Ahli Parlimen Eropah (MEP) akan dipilih, dengan 31 kerusi diperuntukkan kepada Belanda. Proses pilihan raya ini akan berterusan sehingga Isnin depan. Di kebanyakan negara anggota lain, penduduk akan mengundi pada hari Ahad.
Pusat mengundi dibuka dari pukul 7.30 pagi waktu tempatan (0530GMT) sehingga 9.00 malam (1900GMT), dengan hanya beberapa pusat mengundi khas dibenarkan dibuka lebih awal.
Ini merupakan kali ke-10 negara anggota EU mengundi untuk MEP mereka, dengan pilihan raya pertama diadakan pada tahun 1979. Tema penting yang menjadi perhatian pengundi termasuk migrasi, pertahanan dan keselamatan antarabangsa, memerangi jenayah dan keganasan, serta perubahan iklim.
Dalam pilihan raya terakhir pada tahun 2019, PvdA (Parti Buruh) memenangi enam daripada 26 kerusi Belanda di Parlimen Eropah, mendahului Parti Rakyat untuk Kebebasan dan Demokrasi serta "Christian Democratic Appeal", yang masing-masing memenangi empat kerusi.
Dalam tinjauan tahun ini, Parti Kebebasan berhaluan kanan dijangka mendahului, setelah memenangi pilihan raya umum di Belanda pada November tahun lepas dengan majoriti besar, menjadi parti terbesar di negara itu untuk kali pertama dalam sejarah dan bersedia membentuk kerajaan baharu dengan parti gabungan.
Tinjauan awal pilihan raya dijangka dikeluarkan sebaik sahaja pusat mengundi ditutup pada waktu malam. Suruhanjaya Eropah menetapkan bahawa keputusan pilihan raya tidak boleh diumumkan sehingga semua negara anggota EU telah mengadakan pilihan raya mereka menjelang Isnin, bagi mengelakkan pengaruh tidak wajar terhadap pilihan raya di negara lain.
Keputusan rasmi akhir akan ditentukan oleh Majlis Pilihan Raya dalam satu sesi terbuka kira-kira seminggu selepas pilihan raya.
Peratusan Keluar Mengundi bagi pilihan raya ini secara tradisinya rendah di Belanda, sekitar 40 peratus daripada semua pengundi yang layak, kira-kira separuh daripada peratusan pengundian biasa dalam Pilihan Raya Dewan Perwakilan.
-- BERNAMA
#pilihan raya #parlimen eropah #pusat mengundi #Belanda
;