Pilihan raya AS: Marianne Williamson umum tarik diri

Bernama
Februari 8, 2024 17:13 MYT
Calon presiden dari parti Demokrat Marianne Williamson pada Rabu mengumumkan menarik diri daripada pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) 2024. - Gambar fail/AP
WASHINGTON: Calon presiden dari parti Demokrat Marianne Williamson pada Rabu mengumumkan menarik diri daripada pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) 2024, lapor Xinhua.
Dalam sebuah video yang dimuat naik di YouTube, Williamson yang juga seorang pengarang berkata: "Sudah tiba masanya untuk menggantung kempen saya bagi (pemilihan) presiden".
Dengan pengunduran Williamson, Ahli Kongres AS Dean Phillips muncul pencabar tunggal kepada penyandang Presiden Joe Biden yang dengan mudah memenangi kokus New Hampshire dan Nevada peringkat primari baru-baru ini.
Bekas Presiden AS Donald Trump muncul pemenang dalam kokus parti Republikan di Iowa dan New Hampshire selain dijangka memenangi kokus Nevada yang dijadualkan pada Khamis.
Pilihan raya presiden AS di peringkat primari presiden akan berlangsung sehingga Jun ini.
Konvensyen Kebangsaan Republikan yang menjadi medan bagi perwakilan memilih calon presiden parti itu diadakan pada Julai manakala Konvensyen Kebangsaan Demokrat akan berlangsung pada Ogos.
Pilihan raya presiden AS 2024 akan diadakan pada 5 Nov.
-- BERNAMA
#pilihan raya AS #Amerika Syarikat #Marianne Williamson #umum tarik diri
;