Pilihan raya maraton India tamat selepas 44 hari
Bernama
Jun 1, 2024 04:50 MYT
Jun 1, 2024 04:50 MYT
NEW DELHI: Pilihan raya umum maraton India berakhir pada Sabtu selepas berlangsung selama 44 hari yang melibatkan tujuh pusingan pengundian dan retorik perpecahan yang sering mengalihkan perhatian pengundi daripada isu ekonomi dan kebajikan.
Pengundian diadakan pada fasa terakhir untuk baki 57 daripada 543 kerusi parlimen.
Kerusi Perdana Menteri Narendra Modi di Varanasi termasuk dalam pengundian ini bersama 12 kerusi lain di negeri paling ramai penduduk, Uttar Pradesh, yang secara keseluruhan memilih 80 wakil ke Lok Sabha, dewan rendah parlimen nasional dwidewan India.
Pengundi di semua 13 kerusi di negeri Punjab juga mengundi pada Sabtu bersama sembilan tempat di Bengal Barat, lapan di Bihar dan enam di Odisha.
Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Modi berdepan persaingan sengit dengan blok pembangkang yang dikenali sebagai "Indian National Developmental Inclusive Alliance", yang lebih dikenali dengan singkatan INDIA.
Isu kempen berkisar kepada keutamaan utama BJP seperti nasionalisme Hindu, matlamat yang dinyatakan untuk meningkatkan status global India dan menjadikannya "negara maju" menjelang 2047, manakala pembangkang menyerang parti pemerintah mengenai isu inflasi, pekerjaan, keadilan sosial dan keharmonian agama.
Pembangkang mengadu mengenai intimidasi pengundi di pusat pengundian dan mendakwa terdapat ketakteraturan dalam mesin pengundian elektronik (EVM).
Gelombang haba yang melanda barat laut India serta beberapa bahagian di wilayah timur dan tengah juga memberi kesan kepada kempen pilihan raya dan peratusan keluar mengundi.
Puluhan mangsa termasuk anggota keselamatan dan pegawai bertugas pilihan raya, meninggal dunia minggu ini di Uttar Pradesh, Bihar dan Odisha akibat suhu panas yang terik.
Modi menghabiskan 45 jam dalam "meditasi" di Kanyakumari di selatan India selepas kempen untuk fasa ketujuh berakhir pada Khamis malam.
Pengiraan undi akan berlangsung pada Selasa ini.
Pemimpin tertinggi blok INDIA mengadakan mesyuarat di New Delhi pada Sabtu untuk merangka strategi selepas keputusan pilihan raya diumumkan.
-- BERNAMA