Pilihan raya kecil Parlimen Myanmar bermula
Astro Awani
November 3, 2018 10:10 MYT
November 3, 2018 10:10 MYT
Pilihan raya kecil Parlimen Myanmar bermula pagi Sabtu dengan lebih 900,000 pengundi dijangka membuang undi.
Sebanyak 69 calon, termasuk 62 dari 24 parti politik dan tujuh calon individu, bersaing untuk 13 kerusi Parlimen di sembilan wilayah dan negeri, di mana 1,383 pusat mengundi telah ditubuhkan.
Daripada 13 kerusi Parlimen itu, empat adalah di Dewan Rakyat, satu di Dewan Negara dan lapan di peringkat negeri atau wilayah.
Daripada 62 calon tersebut, 13 dari parti pemerintah National League for Democracy (NLD) yang bertanding di semua tempat kerusi, 10 dari bekas parti pemerintah Union Solidarity and Development Party (USDP) dan selebihnya dari parti politik lain.
Di rantau Yangon, sejumlah 100,553 pengundi dijangka mengundi di dua kawasan perbandaran iaitu Tanmwe dan Seikkan.
Dengan 123 pusat pengundian yang ditubuhkan di kawasan perbandaran Tanmwe, calon NLD U Toe Win bertanding menentang U Myo Win Kyaw (USDP).
Sementara itu, di dua pusat mengundi di Seikkan, U Than Htaik Aung (NLD) menentang U Nay Myo Aung (USDP).